Resipi nasi beriani yang terkandung dalam manuskrip Melayu lama berusia 200 tahun dijangka antara tumpuan peserta Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang bermula Selasa ini selama tiga hari.
Ketua Pengarah PNM Datuk Nafisah Ahmad berkata manuskrip nukilan kaum Melayu yang dipercayai berasal dari Pontianak, Indonesia itu akan dibentang oleh Prof Madya Dr Zahir Ahmad dan pelajarnya Muhammad Marwan Mohd Tanos dari Universiti Malaya (UM).
“Ramuan nasi beriani itu merupakan antara topik yang terkandung dalam MSS (Manuskrip) 2926 Petua Memasak : Penelitian Awal Terhadap Ilmu Kulinari Melayu Tradisional milik PNM.
“Hasil kajian itu amat jarang ditemui dan saya percaya ia bakal menjadi daya tarikan pada persidangan kali ini. Selain itu, resipi mi goreng dan sup seperti sup lidah dan sup kaki juga akan turut disentuh oleh Zahir dan Muhammad Marwan pada hari ketiga persidangan,” katanya kepada Bernama di ibunegara.
Nafisah berkata turut dibentangkan buat kali pertama ialah ilmu menentang penjajah oleh Hermansyah dari Universiti Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh, Indonesia yang terkandung dalam 'Tazkirah Ar-Raqidin: Manuskrip Acheh-Melayu Pengobar Semangat Jihad Melawan Belanda'.
Selain itu, persidangan juga akan mendengar pembentangan ilmu perubatan Melayu oleh Prof Madya Dr Ab Razak Ab Karim dari UM yang mengetengahkan manuskrip 'D.I.Y (Do It Yourself) Dalam Perubatan Melayu: Kegeniusan Masyarakat Melayu Klasik' mengenai bagaimana kaum Melayu zaman dahulu merawat sendiri penyakit yang dialami.
Bertemakan ‘Menjunjung Warisan Pusaka, Menjulang Peradaban Negara’, persidangan kali keempat itu bertujuan mengangkat bangsa Melayu sebagai bangsa yang gemilang dan bertamadun yang dapat dibuktikan melalui cetusan minda dan titipan karya dalam manuskrip Melayu, katanya.
Beliau berkata seramai 27 pembentang termasuk lima dari Indonesia akan berkongsi kajian mereka sepanjang tiga hari persidangan yang akan berlangsung di PNM.
“Peserta dikenakan yuran penyertaan RM150 manakala pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dikenakan bayaran RM50. Setakat ini 150 orang termasuk lima dari Singapura dan 11 dari Indonesia telah mendaftar bagi menyertai persidangan ini,” katanya.
Nafisah berkata persidangan kali ini turut diserikan dengan Pameran Asal Usul dan Bukti Intelektual yang menampilkan 45 naskhah manuskrip Melayu koleksi PNM serta lima artifak rangka manusia yang ditemui di Tasik Kenyir, Terengganu yang dipinjamkan oleh Muzium Terengganu.
Beliau turut berharap penganjuran persidangan ini bakal membuka lembaran baharu dalam penyelidikan manuskrip Melayu yang selama ini cenderung kepada aspek keagamaan dan hikayat sejarah semata-mata sedangkan banyak lagi aspek lain yang belum dikupas para pengkaji.
- Bernama