Gimik terbaru Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hanya akan menyebabkan BN hilang undi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker.
"Aksi bodoh Jamal dengan memecahkan berbotol-botol arak di pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) barangkali dapat menarik perhatian seperti yang dimahukannya, tetapi ia tidak akan diterima baik oleh pengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk tindakan Jamal yang memecahkan lebih 100 botol arak menggunakan tukul besi pagi tadi, sebagai bantahan terhadap penganjuran pesta arak di Selangor.
Mengambil pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar tahun lalu sebagai contoh, Ti berkata lebih 42 peratus pengundi China telah mengundi BN.
"Namun, pencapaian ini sekejap sahaja akan bertukar sia-sia jika Jamal terus dengan tindakan agresif dan aksi biadabnya, yang bukan sahaja tidak sensitif dan bersifat provokasi kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam.
"Ini akhirnya akan bertukar menjadi protes senyap di peti undi. Jamal akan menyebabkan BN hilang undi ekoran sikapnya yang tidak sensitif dan tidak menghormati orang lain.
"Jika dia rasa tindakan ganasnya itu akan mendatangkan pujian daripada pengundi, dia silap besar," katanya.
Hadir bersama kira-kira 20 penyokong, Jamal yang juga ketua Gerakan Baju Merah memberi amaran kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar tidak membenarkan pesta arak diadakan di Selangor.
Susulan daripada pembatalan festival Better Beer 2017 yang sepatutnya berlangsung esok di Kuala Lumpur, timbul khabar angin yang penganjur kini membuat permohonan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Menurut The Sun, polis Shah Alam kini sedang menyiasat insiden itu di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana berhimpun secara haram.
Ti juga menggesa pemimpin BN mengecam tindakan Jamal itu, agar ia tidak dikaitkan dengan mereka.
"Rakyat akan mengaitkan tindakan kasar itu sebagai budaya BN dan lebih teruk, BN mengizinkannya," katanya lagi.