Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu liwat dah selesai, jangan tularkan lagi, kata menteri

Datuk Seri Rohani Abdul Karim menegaskan pihaknya telah mengambil tindakan berhubung dakwaan kes liwat dan penderaan seksual membabitkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Melaka.

Kata menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, banyak perkara sudah ditangani, termasuk membuat nota kabinet bagi menerangkan perkara itu.

"Saya telah membuat nota kabinet untuk menerangkannya, banyak perkara sebenarnya sudah ditangani.

"Kita menambah baik juga apa (dakwaan) yang sebut-sebutkan dan banyak penambahbaikkan sejak 2012," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Wanita Sejahtera Membangun Keluarga Harmoni Komuniti peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama kesahihan dakwaan kes liwat yang didakwa oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) Muhammad Khairul Hafiz Abdul baru-baru ini.

Malaysiakini pada 29 September lalu melaporkan NGO tersebut mendakwa terdapat bukti perbuatan liwat dan penderaan seksual membabitkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak bawah JKM di Melaka.

Khairul mendakwa polis mahupun JKM tidak mengambil tindakan terhadap pelaku yang merupakan seorang warden berusia lebih 50 tahun walaupun beberapa laporan polis dibuat sejak tahun 2010.

Beliau menuntut kes itu dibuka semula.

'Jangan tularkan kes lama'

Sementara itu Rohani berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dan meminta media tidak membangkitkan lagi.

"Untuk makluman, saya minta kepada kesemua media supaya jangan tular semula sebab itu kes 2012, jadi orang tak tahu mereka ingat perkara baru.

"Pegawai saya banyak down, saya kena naikkan semangat mereka kerana ini cerita lama ditularkan semula.

"Jadi saya dah buat laporan polis (selepas) saya tengok pegawai saya rasa kecewa sebab mereka dah buat yang terbaik," katanya.

Tambah beliau, dengan membangkit lagi kes lama itu seakan-akan memberikan persepsi negatif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS