Paling Popular
Terkini

PAS Kelantan yakin pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama akan menolak DAP yang disebut-sebut akan bertanding untuk kali pertama selepas 31 tahun di situ.

Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sokongan pengundi kepada PAS dan kerajaan Kelantan ketika ini masih kukuh.

Katanya sokongan itu turut ditunjukkan pengundi bukan Islam yang ramai dalam DUN Kota Lama.

Justeru kata Takiyuddin PAS bersikap terbuka untuk dicabar mana-mana parti dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, termasuk oleh DAP.

“Bagi saya, mana-mana parti bebas untuk bertanding di mana-mana kerusi termasuklah di Kota Bharu.

"Tapi melihat kepada sokongan bukan Melayu, mereka (DAP) tidak ada peluang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho di Kota Bharu, malam tadi.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dengan kehadiran lebih 1,000 orang.

Penganjur turut menyediakan pelbagai acara sebagai daya tarikan, seperti cabutan bertuah dengan hadiah motosikal, peti sejuk, mesin basuh dan basikal.

Ada gambaran jelas

Malaysiakini pada 25 Sept lalu melaporkan tentang hajat DAP untuk meletakkan calon di dua kerusi DUN Kelantan pada PRU ke-14 nanti.

Selain Kota Lama, pemimpin DAP Kelantan Chua Chin Hui berkata parti terbabit juga bercadang meletakkan calon di Galas yang terletak di bawah parlimen Gua Musang.

Kota Lama kini diwakili Datuk Anuar Tan Abdullah (PAS), manakala Galas, Ab Aziz Yusoff (BN).

DUN Kota Lama memiliki 28,248 penundi berdaftar dan sebahagian besar daripada masyarakat Cina di Kota Bharu berada di dalam kawasan berkenaan.

Pada PRU ke-13 mengalahkan dua pencabar dengan majoriti 6,618 undi.

Kali terakhir DAP meletakkan calon di Kelantan ialah pada PRU ketujuh (1986).

Sebelum ini Anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang juga Exco Kelantan Datuk Nassuruddin Daud pula berkata pihaknya tidak ada masalah jika DAP meletakkan calon di Kelantan.

Ditanya peluang DAP di Kelantan Nassuruddin berkata: "Hilang deposit tu, ada peluang inysa-Allah."

Sementara itu, mengulas mengenai lanjut sambutan rakyat Kota Bharu terhadap program malam tadi Takiyuddin berkata, ia adalah gambaran jelas menunjukkan kaum Cina masih menyokong PAS dan kerajaan negeri.

"Ini satu petanda bahawa kerajaan negeri amat prihatin kepada seluruh rakyat termasuk kaum Tionghua.

"Kehadiran yang baik malam (tadi) menunjukkan masyarakat Kelantan khususnya Tionghua bersama kerajaan negeri.

"Ini satu gambaran jelas, kalau mereka tak sokong kerajaan negeri, mungkin kehadiran pada malam ini tidaklah seumpama ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS