Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kibaran bendera Umno perlu dilihat dari konteks betul'

ULASAN l Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (MHSKL) terpanggil untuk menjawab artikel di atas yang diterbitkan secara atas talian semalam.

Dalam artikel tersebut, Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) menyatakan bahawa sekolah-sekolah sedang berubah menjadi tempat penyebaran politik merujuk kepada Pertandingan Hiasan Sekolah sempena bulan kemerdekaan peringkat Putrajaya yang bertemakan “Umno dan Kemerdekaan” yang dianjurkan bersama oleh Biro Pendidikan Parlimen Putrajaya dan PSMKL.

PAGE juga menyatakan pertandingan seperti ini dapat melunturkan keyakinan terhadap sistem sekolah kebangsaan.

Kami melihat kenyataan oleh PAGE ini bersifat melulu untuk memberi pandangan yang negatif dan mengelirukan orang ramai terhadap usaha kami.

PSMKL telah terlibat dalam memberikan pandangan kepada jawatankuasa penganjur bersama pertandingan ini sejak 2014.

Sejak pertandingan pertama diadakan, kami telah menyediakan kepakaran teknikal dan pasukan juri untuk membantu dalam menjayakan pertandingan ini. Mengenai tema yang dipilih, kami telah menyediakan parameter berikut sebagai bimbingan kepada penganjur;

a) Tema berunsurkan sejarah harus sesuai dengan sukatan pelajaran sekolah kerajaan yang terdapat dalam buku teks sejarah;

b) Pertandingan ini adalah untuk mengasah kemahiran dan pengetahuan pelajar dalam subjek sejarah untuk para pelajar mengetahui sumber sejarah dan melatih keyakinan mereka
untuk memberi ucapan dan persembahan kepada juri mengenai tema pilihan mereka;

c) Pelajar juga harus mempelajari asas-asas perlembagaan dan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan menerusi proses politik dan membezakannya dengan perjuangan kemerdekaan
melalui perjuangan mengangkat senjata;

d) Penghakiman dilakukan secara telus oleh anggota PSMKL. (Dari tahun 2014-2016 PSMKL telah menyediakan dua panel juri untuk pertandingan. Tahun ini, Penolong Bendahari Kehormat PSMKL telah dilantik sebagai Ketua Juri.)

Kami berpendirian bahawa penganjur telah mematuhi semua parameter yang dicadangkan oleh PSMKL.

Mengenai tema pertandingan ini iaitu berkaitan dengan sejarah di mana Umno dan
parti-parti politik lain berjuang untuk kemerdekaan Malaya dalam tempoh dari tahun 1946 hingga Merdeka pada tahun 1957 merupakan satu fakta yang tidak dapat disangkal dan terukir dalam lipatan sejarah negara kita.

Justeru, PAGE sebagai kumpulan aktivis pendidikan yang bertanggungjawab, tidak seharusnya memainkan isu ini seolah-olah ia bukannya fakta sejarah.

Parameter-parameter yang ditetapkan juga menunjukkan bahawa ibu bapa seharusnya yakin bahawa penganjur meletakkan kepentingan pelajar sebagai keutamaan dalam menganjurkan pertandingan ini.

Dengan menghidupkan kembali detik-detik sejarah melalui drama dan persembahan, para pelajar bukan sahaja akan diberi pengalaman pembelajaran, tetapi akan membolehkan mereka menikmati proses pembelajaran sejarah dan peluang untuk merasai pengalaman ketika proses tersebut berlangsung.

Oleh itu, bendera Umno yang dikibarkan oleh pelajar tidak harus dipetik di luar konteks.

Menurut Ketua Juri yang mewakili PSMKL, kibaran bendera Umno dilakukan sebagai satu adegan babak terakhir di mana Tunku Abdul Rahman dan rombongan merdeka memohon dana daripada orang ramai untuk perjalanan mereka ke London.

Semasa pelajar mementaskan adegan yang terkenal di mana wanita memberikan perhiasan dan lelaki memberikan apa sahaja yang mereka ada untuk misi Merdeka, beberapa pelajar lain mengibar bendera dan lagu Umno turut dinyanyikan.

Kami percaya adegan tersebut apabila dilihat ke dalam konteks yang betul memberi maksud positif untuk mengembalikan saat bersejarah itu walaupun ia mungkin atau tidak tepat dari perspektif sejarah.

Perlu diingat bahawa penganjur tidak terlibat sama sekali tentang cara dan bagaimana sekolah dan pelajar bersaing dari segi kreativiti dan ekpresi dalam usaha ke arah merealisasikan tema yang diberikan.

PSMKL ingin terus menyokong pertandingan seperti ini untuk dianjurkan bukan sahaja di Putrajaya bahkan di Kuala Lumpur dengan mengembangkan tema seperti "Era Kesultanan Melaka", "Pasca Perang Dunia 1" dan "Pasca Perang Dunia II".

Kami juga ingin menawarkan kepakaran kami kepada NGO lain yang ingin sama- sama membantu mempertingkatkan minat subjek sejarah kalangan pelajar dan masyarakat dan menjadikan sejarah sebagai sesuatu yang menarik.

Pada masa akan datang kami akan lebih sensitif dan peka terhadap pihak-pihak yang dibentuk oleh suhu politik semasa. Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan sila menghubungi saya.


MOHD EMIL AZRIL BAHARI adalah Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (MHSKL).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS