Pelajar sebuah sekolah rendah di Putrajaya hanya menunjukkan kefahaman mereka tentang sejarah kemerdekaan melalui pertandingan menghias bilik darjah semalam, dan ia bukanlah usaha membawa politik masuk ke sekolah, kata Ketua Pemuda Umno Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim.
Beliau yang mendakwa turut hadir ke acara itu berkata, tiada siapa yang dapat menafikan peranan Umno bersama-sama MCA dan MIC dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
"Tunku Abdul Rahman yang digelar Bapa Kemerdekaan juga antara pemimpin awal Umno melaungkan 'merdeka' sebanyak tujuh kali. Sebelum itu Tunku diiringi Tun VT Sambathan dan Tun Tan Cheng Lock menandatangani perjanjian kemerdekaan di London.
"Ini adalah fakta sejarah yang bukan direka atau dimanipulasi. Murid-murid menghayati perjuangan untuk mencapai kemerdekaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan tentang pertandingan sebuah sekolah di Presint 14 Putrajaya, yang menyaksikan dewan dan kelas dihiasi dengan bendera Umno.
Ucapan Menteri Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga disambut dengan laungan "Hidup Umno" oleh kira-kira 500 murid dan guru.
Laporan itu menimbulkan kecaman beberapa pihak, antaranya NGO Parent Action Group for Education (Page) yang berkata acara seumpama itu merosakkan lagi keyakinan rakyat terhadap mutu sekolah kebangsaan.
Namun Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pemuda BN Wilayah Persekutuan mempertahankan acara itu atas sebab sama, iaitu ia dilakukan atas faktor sejarah dan bukannya politik.
Dalam pada itu, Ahmad Faisal menyatakan kekesalannya dengan laporan Malaysiakini yang menurutnya cuba memburukkan imej Umno dan sekolah kebangsaan.
"Amat dukacita apabila Malaysiakini memutarbelitkan fakta sejarah yang diterjemahkan pelajar sekolah...Jika menteri cuba mempolitikkan guru dan murid, sudah pasti nyanyian lagu Umno diselitkan.
"Pihak penganjur juga tidak minta guru dan murid mengibarkan bendera Malaysia dan Umno. Maka tidak timbul isu penganjur cuba mempolitikkan sekolah," katanya lagi.
Bertentangan dengan kenyataan itu, rakaman KiniTV semalam jelas menunjukkan murid-murid menyanyikan lagu Umno ketika menyambut ketibaan Tengku Adnan dan mengibarkan bendera parti itu ketika acara di dewan.
Semalam guru besar sekolah Mohd Amin Hamzah dilaporkan berkata, tema "Umno dan Kemerdekaan" ditetapkan kementerian wilayah persekutuan dan bendera Umno yang dikibarkan hanyalah "buat sementara".
“Sebenarnya (unsur politik) kita tak nampak terlalu jelas, sebabnya kita menyokong kementerian wilayah saja adakan aktiviti ini, bukannya melibatkan politik dalam sekolah, kami menyokong aktiviti kementerian, bukannya politik,” katanya lagi.