Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Syarikat ekonomi digital antarabangsa yang beroperasi di Malaysia seperti Netflix dan Iflix dijangka akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata percukaian tersebut akan dapat menambahkan hasil kutipan kepada kerajaan.

“Ya,ya, ya, ya. Sudah tentu (Netflix dan Iflix akan dikenakan cukai),” katanya kepada pemberita dalam sidang media d Hotel Blue Wave, Shah Alam.

Sebelum itu Subromaniam ditanya mengenai pindaan terhadap Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 berkenaan  cukai  yang akan dikutip oleh kerajaan daripada syarikat asing yang beroperasi di Malaysia di bawah ekonomi digital.

Subromaniam berkata GST adalah kaedah terbaik bagi mengutip cukai perkhidmatan ekonomi digital berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kalau nak (cukaikan mereka, kita perlu) satu sistem percukaian moden, komprehensif dan progresif, nama cukainya adalah GST.

“Bagi mereka yang tak tahulah, ramai yang tak tahu. Zaman-zaman dulu boleh lah, sekarang perkembangan zaman dah berubah, banyak benda berubah sebab itu kita guna GST.

“Kalau masuk balik SST hilanglah satu sumber pendapatan yang besar, sekarang semua perkara dah guna digital dan kita tak boleh nak cukaikan kalau guna SST,” katanya.

Duta GST

Sementara itu Subromaniam berkata pihaknya akan memberi penerangan lanjut kepada syarikat-syarikat yang berdaftar dibawah GST mengenai cara pemfailan dan dokumentasi cara percukaian yang betul.

Katanya, sehingga pertengahan tahun ini pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 62,000 notis kepada syarikat yang tidak mengemukakan cara percukaian GST dengan betul dan daripada jumlah itu hanya 10,000 memperbaikinya.

Justeru, Subromaniam berkata, bermula 15 Oktober hingga 30 Disember ini, pihaknya akan melantik duta GST bagi memberi penerangan secara percuma kepada syarikat-syarikat ini melalui persatuan atau dewan perniagaan.

“Mereka boleh panggil ahli-ahli mereka kumpul di premis dan minta kita hantar pegawai-pegawai kita ke sana bantu mereka untuk tingkat pematuhan GST,” katanya yang menjangkakan kutipan tambahan RM1 bilion untuk tahun ini.

Subromaniam turut berkata sekiranya syarikat-syarikat itu gagal mematuhi cara percukaian yang betul tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dibuat kepada mereka bermula 1 Januari 2018.

“Tahun depan kita akan buat audit dan siasatan, dan mereka terpaksa bayar cukai dan bayar denda penalti, jadi sebelum habis tahun ini perbaiki mana dan lihat apa yang kurang bayar dan mana tidak betul,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS