Buat pertama kalinya dalam kerjaya politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkunjung ke ibu pejabat DAP.
Dan menurut ulasan di portal Umno Online, apa yang terjadi itu adalah lambang kepada tersungkur dengan secara rasminya Mahatthir, 92 terhadap perjuangan Malaysian Malaysia DAP yang sebelum ini ditentangnya sendiri bermati-matian.
Hakikat Mahathir dan DAP pernah berseteru bukan satu rahsia. Bagaimanapun, mereka kini bergandingan dan membentuk satu pakatan dengan tujuan menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sememangnya ini adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan oleh ahli-ahli Umno, parti yang diterajui oleh Mahathir selama lebih dua dekad. Kerisauan sama juga menghantui di kalangan akar umbi DAP.
Semalam, Mahathir, yang kini adalah pengerusi Pakatan Harapan, mempengerusikan mesyuarat presiden di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.
Dalam ulasannya, Kamarul Zaman Yusoff berkata bagi generasi baru Malaysia, konsep Malaysian Malaysia DAP berakar umbi dari deklarasi bersama parti-parti pembangkang yang bergabung di dalam the Malaysian Solidarity Convention (MSC) di Singapura pada 9 Mei 1965.
Beliau berkata tercatat dalam salah satu dokumen konvensyen itu adalah bahawa "Malaysian Malaysia bermakna bahawa negara tidak lagi dikenal pasti dengan ketuanan, kesejahteraan dan kepentingan mana-mana komuniti atau kaum tertentu."
Kamarul berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Penganjur Anthony Loke yang memperjuangkan agenda Malaysian Malaysia.
“Malah ramai yang tidak tahu konsep Malaysian Malaysia DAP ini sentiasa diindoktrinasikan ke dalam jiwa ahli DAP melalui lirik lagu rasmi DAP yang antara lainnya berbunyi ‘Bersama kita menuju satu matlamat: Malaysia untuk rakyat Malaysia’,” katanya.
Kamarul juga menegaskan bahawa dalam buku “Tun M: Inilah Perjuangan” yang diterbitkan tahun lalu, Mahathir menyuarakan bantahan kerasnya terhadap perjuangan Malaysian Malaysia ketika ditemubual secara eksklusif dengan penulis Sabaruddin Hussein.
Antara lain, beliau memetik Mahathir sebagai berkata dalam buku itu:
“Orang bukan Melayu asyik menuntut hak persamaan, meminta supaya dimansuhkan hak istimewa orang Melayu. Sedangkan mereka tinggal di negara ini, mendapat kewarganegaraan, juga merupakan satu keistimewaan. Mereka boleh mengamalkan cara hidup mereka sendiri, bahasa sendiri, itu pun satu keistimewaan.”
“Mereka tidak boleh punyai sistem pendidikan sendiri, kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan, mereka tidak boleh mengamalkan budaya mereka, malah nama pun perlu ditukar kepada nama Malaysia, sepertimana yang dilakukan di Indonesia dan Thailand, pada masa itu barulah kita boleh mansuhkan hak istimewa orang Melayu.”