Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis nafi larang festival F&B Jerman di Selangor

Polis hari ini menafikan mereka yang melarang Festival F&B Jerman yang dijadual berlangsung di Kelang pada 12 dan 13 Okt ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata wujud salah faham di kalangan banyak pihak berhubung isu berkenaan.

"Kuasa meluluskan permit bukan di bawah polis (sebaliknya) di bawah majlis daerah atau majlis perbandaran kawasan yang terlibat," katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Pahlawan 2017 di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau di pihak polis mereka hanya menasihatkan supaya ia tidak diadakan di Kelang berdasarkan maklumat risikan yang dikumpul.

Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, kata Mohamad Fuzi, ada ancaman pengganas dan polis tidak akan membiarkan ia berlaku.

"Sebab kita (berdepan) ancaman yang betul dalam isu ini. Jadi kita tidak akan benarkan.

"Polis akan nasihatkan semua pihak yang terbabit," katanya.

Festival F&B Jerman itu sepatutnya berlangsung di Kelang pertengahan bulan ini dan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak serta parti politik.

Dakwaan itu mengarut

Majlis Perbandaran Klang (MPK) didakwa memberi lampu hijau kepada acara itu dan meminta penganjur tidak memaparkan perkataan "Oktoberfest".

Akhbar Sin Chew Daily pada 27 Sept melaporkan keputusan itu dibuat berdasarkan acara berkenaan bersifat tertutup dan akan diadakan di premis persendirian.

Bagaimanapun, antara syarat yang dikenakan termasuk orang Islam tidak dibenarkan menyertainya.

Perkataan "Oktoberfest" merujuk kepada pesta bir yang diadakan setiap tahun pada bulan Oktober di Munich, Jerman.

Selain itu, penganjur majlis juga disyarat mendapatkan kelulusan polis dan permit dari pejabat tanah dan kastam sebelum meneruskan acara tersebut.

Bagaimanapun pada 30 Sept Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan dipetik sebagai berkata pihaknya tidak akan meluluskan sebarang permit bagi pesta berkenaan.

Untuk rekod festival Oktoberfest sama juga diadakan di Johor setiap tahun namun berlangsung secara tertutup dan tidak besar-besaran.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua pihak tidak memperbesar-besarkan isu berkenaan.

"Benda ini sudah lama dibuat dan tidak diuar-uarkan atau dihebahkan.

"Program itu dibuat di lokasi tertutup saja, bukan seperti di sesetengah negeri yang buat dengan menjemput orang ramai, secara terbuka.

“Jadi kita tidak perlu membesar-besarkan perkara itu," katanya menurut laporan Sinar Harian semalam.

Kata Mazelan polis menerima arahan supaya menyekat sebarang penganjuran pesta arak.

“Pihak saya tidak membenarkan seperti arahan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini supaya polis memastikan tiada sebarang pesta arak dianjurkan," katanya dipetik Bernama.

Mohamad Fuzi berkata polis mengeluarkan nasihat sedemikian supaya tidak dipersalahkan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Ramai orang menuduh polis sengaja mengharamkan (festival bir). Saya rasa itu mengarut," katanya.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan isu pengharaman festival beer kepada polis.

Ditanya mengenai kemungkinan larangan itu berkait dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, Ahmad Zahid berkata: "Ini isu teknikal. Saya fikir ia harus diserahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun."

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS