Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada pihak polis berhubung penganjuran Better Beer Festival 2017.
"Soalan ini teknikal. Saya fikir ia harus diserahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (foto)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Kebajikan Negara di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi, hari ini.
Beliau yang juga timbalan perdana menteri ditanya sama ada larangan itu berkait dengan pilihan raya umum (PRU) tidak lagi, memandangkan pesta arak itu berlangsung tanpa sebarang masalah untuk tahun-tahun sebelumnya.
Jawapan itu di sebalik kenyataannya seperti dilapor Bernama 26 September lalu, yang polis telah diarahkan untuk menghalang acara itu daripada berlangsung.
Fuzi sebelum ini juga dilaporkan berkata, pihak polis mendapat maklumat wujudnya rancangan pengganas untuk melakukan sabotaj pada acara itu.
Better Beer Festival sepatutnya berlangsung pada 6 dan 7 Oktober ini. Penganjur Mybeer (M) Sdn Bhd membantah pembatalan permit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas dasar tiada masalah timbul dalam penganjuran sebelum ini.