Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM umum peruntukan RM5j bela kebajikan anggota SPRM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM, sebuah yayasan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sebagai tanda sokongan terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini.

Najib berkata, peruntukan itu agar usaha menjaga kebajikan anggota SPRM akan dapat berjalan dengan lebih lancar.

"Sebagai simbol sokongan saya kepada SPRM, sukacita saya bagi pihak kerajaan mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk Yayasan Prihatin SPRM," katanya pada sambutan ulang tahun ke-50 SPRM di ibu pejabat baru badan itu di Putrajaya, hari ini.

Yayasan Prihatin SPRM ditubuhkan antaranya bertujuan untuk membela kebajikan anggota badan itu.

Najib berkata lagi, beliau sentiasa menghargai anggota SPRM yang bekerja "siang dan malam" untuk melawan rasuah di negara ini.

"Jadi kita mesti tunjukkan sokongan moral kepada kebajikan mereka. Teruslah berjuang habis-habisan kerana (rasuah) memang ancaman kepada negara, tamadun, masyarakat dan masa depan kita.

"Apabila kita dapat membendung rasuah dan salah guna kuasa, insyaAllah negara lebih maju dan berjaya seperti (matlamat) kita di bawah visi Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kerajaan akan terus memberi kerjasama sebaiknya kepada SPRM," katanya lagi.

Kehadiran Najib hari ini di saat Pejabat Peguam Negara belum menerima kertas siasatan SPRM berhubung dakwaan sejumlah RM42 juta daripada SRC International Bhd ke akaun beliau.

Sementara itu, Najib memetik kisah Nabi Sulaiman seperti yang tertulis dalam al-Quran (Surah an-Naml), berkenaan baginda menolak tawaran daripada Ratu Balqis kerana berpegang dengan prinsip dan amanah yang diberikan Tuhan kepadanya.

"Bukan hanya pegawai SPRM, jika kita ada kuasa, kita perlu ingat prinsip dan amanah," katanya.

Beliau turut mengisytiharkan ibu pejabat baru SPRM sebagai "kompleks antirasuah terbesar" di dunia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Zulkifli Ahmad dalam ucapannya sebelum itu mengesahkan mereka telah merampas aset berjumlah RM334.53 juga antara Ogos 2016 sehingga Ogos 2017.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS