Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak perlu jadi ahli untuk bersama PAS, kata Nasrudin

PAS menegaskan kehadiran beberapa tokoh ke pentas Fastaqim 2.0 semalam adalah satu kejayaan besar, walaupun ia tidak diterjemahkan melalui penyertaan mereka ke dalam parti itu.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan, ada pelbagai cara untuk mana-mana pihak bersama-sama dalam perjuangan PAS.

"Mungkin orang salah faham, maksud saya ialah menyertai atau bersama dengan perjuangan PAS. Soal bentuk kebersamaan itu pelbagai. Ada yang memilih untuk menjadi ahli parti, sebagai rakan kongsi atau penyokong.

"Bersama PAS tidak semestinya menjadi ahli. Boleh sahaja bersama dengan maksud mendukung cita-cita perjuangan parti," katanya pada sidang media selepas berakhirnya perhimpunan besar itu di Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus, Terengganu, malam tadi.

Awal bulan lalu, beliau yang juga anggota parlimen Temerloh menguar-nguarkan Fastaqim 2.0 akan memberikan beberapa kejutan, namun sehingga semalam tiada perkembangan yang dikatakan benar-benar signifikan dapat dilihat.

Antara spekulasi berkaitan kejutan itu adalah penyertaan secara rasmi beberapa tokoh ternama ke dalam PAS.

Namun ia hanya berakhir dengan pengisytiharan sokongan beberapa tokoh terhadap parti itu. Mereka adalah bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Zakaria Jaffar dan bekas pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Abdul Rahim Che Daud.

Nasrudin yang menjadi pengerusi pengelola program berkata, kehadiran mereka semalam memberikan makna besar kepada PAS.

"Tampil di atas pentas PAS dalam Fastaqim 2.0 untuk bersama perjuangan kami, itu pun merupakan berita cukup menggembirakan semua.

"Ini menunjukkan pas tidak bersendirian dan tidak ketandusan tokoh-tokoh profesional, tidak hilang golongan tenokrat dan mereka yang pakar dalam bidang-bidang tertentu untuk bersama dengan PAS," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS