Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Berkesempatan bertemu dengan naib ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), ada pesanan yang diterima oleh Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi.

Bercakap kepada Malaysiakini malam ini Yusuf berkata pertemuan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak ada kena-mengena dengan politik.

Sebaliknya kata Yusuf dia berjumpa dengan Abdul Hadi di Terengganu semalam adalah sebagai kunjungan hormat kepada seorang ulama.

"Malah dalam pertemuan itu saya minta kerjasama beliau untuk berusaha ke arah penyatuan ummah.

"Beliau jawab, insya-Allah. Beliau juga memberi nasihat kepada kami supaya menjaga solat dan terus berada di jalan Allah," katanya.

Yusuf sejak akhir-akhir ini menarik perhatian ramai kerana berani ke depan membela nasib orang yang dianggap tertindas.

Antara aksi aktivis PPIM itu ialah 'menyerbu' sebuah syarikat pajakan kenderaan, serta menjadi orang tengah antara pelabur sebuah syarikat yang menawarkan khidmat membina rumah dengan harga murah.

Yusuf - yang sering dilihat berjubah dan berserban - juga pernah menceritakan bagaimana dia berdepan dengan samseng syarikat peminjam wang yang menuntut hutang daripada wanita berusia.

Semalam Yusuf memuat naik gambar dia bersama rombongannya bertemu Abdul Hadi di Marang. Aktivis itu juga menghadiri program Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal yang mencapai kemuncaknya pada malam ini.

Pertemuan itu mencetuskan pertanyaan sama ada Yusuf adalah antara bahan kejutan yang dijanjikan pemimpin PAS sempena himpunan yang menyasarkan kehadiran 200,000 orang itu.

Membenarkan benda salah

PAS - yang bergerak dengan slogan politik matang dan sejahtera - sebelum ini menyatakan sedia bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan kepentingan rakyat.

Ditanya lebih lanjut, Yusuf yang berada bersama ribuan peserta Fastaqim 2.0 malam ini memberitahu Malaysiakini, dia tidak berniat menyertai mana-mana parti politik.

"Saya pun tak berniat nak bertanding (dalam pilihan raya). Saya tak ada hasrat ke arah itu," katanya.

Sebaliknya kata Yusuf dia hadir ke Fastaqim 2.0 "demi kebaikan ummah dan untuk rakyat Malaysia".

Menjelaskan lagi pendiriannya Yusuf memberitahu sebelum ini pun banyak pihak menjemputnya menyertai sesuatu program atau memberi ucapan, termasuk Kementerian Dalam Negeri.

"Saya bercakap untuk kebaikan ummah, untuk kebaikan masyarakat.

"Kalau kerajaan buat baik, kita akan sentiasa menyokong tetapi kalau ada individu dalam kerajaan itu membuat salah, kita kena bantah dan kita kena lawan, begitu juga dalam PAS.

"Saya datang hari ini untuk membuat perubahan kepada umat Islam di Malaysia. Saya bercakap tak ada tapisan.

"(Di Malaysia), kerana parti orang berpecah-belah, disebabkan parti kita mengeyakan benda-benda yang salah. Itu yang saya sampaikan," katanya lagi.

Dalam pertemuan dengan Abdul Hadi juga presiden PAS itu mengingatkan Yusuf supaya hidup sentiasa berpandukan al-Quran, selain sentiasa menghormati pemimpin negara sekiranya mereka berniat baik.

Pada masa sama, kata Yusuf, Abdul Hadi mengingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dengan tohmahan dan fitnah, selain tidak jauh daripada Islam

"Sekiranya ada pemimpin Umno itu, ada ustaz yang baik, kita kena sokonglah, ulama yang baik dalam Umno pun kita kena sokong," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS