Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS kerajaan menunggu di Kedah
Diterbitkan:  Sep 30, 2017 6:13 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

PAS tidak pernah terlepas daripada mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri Kedah hampir 50 tahun lalu.

Justeru kata PAS Kedah orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandang lekeh usaha mereka merangka percaturan di negeri berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mereka mampu meletakkan calon di semua 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan 15 parlimen di negeri terbabit.

Dalam keadaan begitu, katanya, PAS boleh dianggap sebagai sebuah "kerajaan menunggu" dan bersedia melaksanakan amanah sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada PRU ke-14.

Katanya PAS tidak pernah kehilangan kerusi di DUN Kedah sejak 1969.

“Kali ini, PAS bertekad untuk meyakinkan rakyat bahawa kami sedia memiikul amanah sebagai kerajaan menunggu dan menunaikan tanggungjawab seperti ketika Kedah bawah kepimpinan Tan Sri Azizan Abdul Razak," katanya dipetik Sinar Online.

PAS bersama rakannya PKR serta DAP pernah mengetepikan BN untuk kali pertama dalam sejarah dengan menguasai majoriti DUN Kedah selepas PRU ke-12 pada 2008.

Allahyarham Azizan yang ketika itu menjadi pesuruhjaya PAS Kedah dilantik menjadi menteri besar. Bagaimanapun kemelut dalaman berlaku dan akhirnya melemahkan struktur kepimpinan PAS negeri.

PAS kemudian kehilangan kuasa apabila majoriti rakyat Kedah mengundi mengetepikan mereka dan kembali memilih BN. Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik menjadi menteri besar sehinggalah Umno pula berdepan dengan kemelut dalaman.

Ia menyaksikan Mukhriz diketepikan dan anak Tun Dr Mahathir itu mengasaskan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dibezakan jumlah kerusi saja

Ketika Umno berdepan dengan cabaran BERSATU kedudukan PAS yang kekal dengan Gagasan Sejahtera pula dilihat pemerhati menyukarkan pembangkang menguasai DUN Kedah.

Namun PAS negeri - seperti PAS keseluruhannya - tetap positif. Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri meletakkan Kedah sebagai salah satu negeri yang akan dikuasai parti itu nanti, manakala selebihnya diserahkan kepada Umno.

Bagaimanapun Malaysiakini pada Mac lalu melaporkan Abdul Hadi menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Kata Abdul Hadi apa yang menjadi keutamaan partinya ialah memenangi 40 kerusi parlimen yang akan ditandingi nanti.

Lebih daripada itu, anggota parlimen Marang itu menjelaskan, tidak ada sesiapa yang dapat meramalkan masa depan.

Kata Ahmad Fakhruddin PAS akan meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingan jika mendapat restu daripada kepimpinan pusat.

Sinar Online melaporkan PAS Kedah juga selesa berada di saf pembangkang dalam DUN negeri, malah pernah diberikan mandat oleh rakyat untuk mengetuai kerajaan negeri bersama Pakatan Rakyat pada 2008.

"Sejarah membuktikan amalan demokrasi di negeri ini berjaya meletakkan wakil PAS di DUN Kedah, yang membezakan antara penggal ke penggal adalah jumlah kerusi dimenangi.

“PAS tidak pernah jemu berhadapan dengan Umno dalam setiap kali pilihan raya kecuali 1978 kerana ketika itu berada dalam bahtera BN.

"Sebelum itu, Umno bersama parti lain membentuk Perikatan dengan lambang kapal layar,” kata Ahmad Fakhruddin.

Tambah Ahmad Fakhruddin, gabungan tenaga lama dan muda mampu membuahkan kejayaan kepada PAS Kedah.

“Saya yakin gabungan orang muda dan tenaga lama yang luas pandangannya akan membuatkan PAS kental mengharungi gelombang politik negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS