Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kata-kata akhir MP Batu di Mahkamah Rayuan
Diterbitkan:  Sep 29, 2017 6:04 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Dalam satu tindakan yang mengejutkan, Naib Presiden PKR, Tian Chua hari ini menarik balik rayuannya terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya kerana enggan mematuhi perintah polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada tahun 2012.

Ini berlaku ketika beliau hadir untuk rayuan terakhirnya di hadapan tiga panel hakim yang diketuai oleh Hakim Tan Sri Mohtarudin Baki.

Beliau melepaskan peguamnya, N Surendran, dan membaca kenyataannya kepada mahkamah.

Berikut ucapan yang dibuatnya:

Yang Arif-Yang Arif,

Pagi ini saya telah melepaskan peguam bela saya, dan selepas perbicaraan lima tahun, saya ingin ambil peluang ini untuk memberi sedikit ucapan di mahkamah ini.

Saya telah membuat pilihan ini selepas berfikir panjang, dan ini langsung tidak bermakna saya tidak mempercayai kebolehan peguam-peguam saya. Saya memang percaya sepenuhnya yang mereka mampu mengendalikan kes ini dengan baik. Oleh itu, pertama sekali saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada para peguam saya.

Yang Arif-Yang Arif,

Pada 28 April 2012, saya telah ditahan sewaktu perhimpunan aman BERSIH. Pada petang itu, saya bersama-sama 500 orang yang ditahan telah dihantar ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Pada hari tersebut, peserta-peserta perhimpunan BERSIH bukan sahaja terkena tembakan gas pemedih mata dan air kimia, tetapi ramai termasuk diri saya sendiri telah dipukul dibelasah sewaktu kami ditahan.

Walaupun begitu, saya tidak didakwa kerana mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan haram. Dakwaan terhadap saya adalah berkaitan kehadiran saya di PULAPOL, di mana saya ditahan pada hari tersebut. Saya didakwa melakukan kesalahan menceroboh "Kawasan Larangan" iaitu PULAPOL.

Yang Arif-Yang Arif,

Pada pandangan saya, amat tidak munasabah untuk menghukum saya kerana saya berada di dalam kawasan PULAPOL pada ketika saya dibawa ke tempat itu dengan paksaan dan tanpa persetujuan saya. Akibat dari itu, saya telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 24 Januari 2014 dan dijatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM1,000.

Penyertaan saya di dalam BERSIH adalah sebahagian dari perjuangan cukup lama untuk menegakkan Malaysia yang lebih adil dan lebih baik.

Matlamat BERSIH adalah untuk menggesa dilaksana reformasi ke atas sistem pilihanraya kita yang cukup berat sebelah.

Sebuah kerajaan yang benar-benar demokratik tidak takut kritikan umum. Demokrasi perlu sentiasa toleran terhadap perbezaan pendapat, dan melalui kebingitan ini masyarakat akan maju menerusi proses reformasi. Sebuah kerajaan yang berintegriti tidak patut menggunakan agensi penguatkuasaan untuk menzalimi mereka yang tidak bersependapat dengan pemerintah.

Undang-undang digubal untuk menjaga kebajikan rakyat, dan menjamin kebebasan, kesaksamaan dan maruah rakyat. Malangnya, undang-undang inilah juga yang telah menjadi alat para penzalim, yang telah menggunakannya untuk menakut-nakutkan rakyat.

Hari demi hari, korupsi dan salah guna kuasa rejim disaksikan ramai rakyat. Namun rejim ini terus bertahan, dibantu sistem pilihanraya yang cukup bermasalah. Rejim jelas mahu terus memegang kuasa dengan menyebar kebencian dan syak wasangka di dalam negara tercinta kita ini.

Saya sama seperti jutaan rakyat Malaysia di luar sana. Kami mendambakan perubahan. Demi sebuah Malaysia yang lebih baik di mana prinsip keadilan dan kebebasan ditegakkan. Rakyat Malaysia mahu bebas bersuara, untuk menyatakan pandangan mereka tanpa rasa takut. Hak ini termaktub di dalam perlembagaan persekutuan -- bahawa semua warganegara berhak mengkritik, bersuara, bergerak bebas, dan memastikan pihak berkuasa mengambil tanggungjawab di atas segala yang mereka lakukan.

Sekiranya harga mengubah sistem yang zalim dan korup ini bermakna saya perlu ke penjara, maka saya amat bersedia membayarnya. Pada masa yang sama, saya ingin tekankan bahawa saya ke penjara tidak bermakna saya mengaku bersalah. Sebenarnya, saya mahu mengetengahkan kesalahan-kesalahan kerajaan ini, dan saya gesa seluruh rakyat Malaysia agar tidak berasa takut dengan para penzalim ini.

Yang Arif-Yang Arif.

Dengan penuh hormat, saya ingin memaklumkan mahkamah ini bahawa saya menarik balik rayuan saya.

Akhir kata, inilah pesanan saya buat semua rakyat Malaysia di luar sana: Terima kasih di atas sokongan dan dokongan. Terus berjuang menegakkan keadilan. Kita tidak akan dan tidak perlu takut kerana kita berada di landasan yang benar! Tembok penjara tidak akan menghalang kita dari mencapai Perubahan!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS