Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengingatkan Lim Kit Siang, rakyat sedang memerhati beliau serta pembangkang.

Kata Tan Sri Dzulkifli Ahmad rakyat akan menghakimi komitmen serta kesungguhan pembangkang membasmi rasuah dan salah guna kuasa.

Menjawab kenyataan dikemukakan Lim, ketua pesuruhjaya SPRM itu memberitahu amalan menyaring calon pilihan raya memang tidak disyaratkan undang-undang negara ini.

Malah kata Dzulkifli terserah kepada parti politik untuk menerima tawaran dibuat SPRM.

“Kalau anda nak hantar senarai, boleh. Kalau tak mahu tak apa," katanya.

Namun pada masa sama Dzulkifli mempertikaikan keengganan parti politik menyerahkan nama mereka untuk disaring SPRM sebelum dijadikan calon pilihan raya.

"Mengapa tak mahu benarkan kami melihat senarai calon mereka?

"Siapa lagi yang boleh menentukan sama ada seseorang itu disiasat atas kes rasuah atau tidak (kalau bukan SPRM)?" katanya kepada media di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

Nampak tak ada masalah

Pada 26 Disember lalu SPRM dilaporkan berkata agensi antirasuah itu mempelawa parti politik yang bercadang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada mereka untuk disaring.

Dzulkifli berkata walaupun tiada undang-undang atau paksaan untuk parti politik berbuat demikian, saringan boleh dilakukan supaya bakal calon dapat dipastikan bersih khususnya dari aspek rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun sehari kemudian Lim mencabar SPRM supaya memastikan BN tidak menurunkan mana-mana individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sebagai calon parti gabungan berkenaan.

Jika ia dapat dilakukan SPRM, kata veteran DAP itu, beliau akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP agar calon parti terbabit turut dikenakan proses saringan.

Untuk rekod selain DAP, Pakatan Harapan dan PAS juga menolak untuk menghantar nama calon masing-masing bagi disaring SPRM.

Kata Dzulkifli SPRM hanya akan memfokuskan saringan mereka kepada aspek rasuah dan salah guna kuasa kerana ia memang tertakluk di bawah bidang kuasa agensi terbabit.

Namun katanya terserah kepada parti pembangkang untuk menerima pelawaan SPRM.

Pada masa sama Dzulkifli berkata sangat penting bagi parti politik menunjukkan komitmen masing-masing bagi menangani rasuah, dan tidak hanya bercakap mengenainya saja.

"Kami tak nampak ada masalah dengan proses saringan itu," katanya.

SPRM juga, kata Dzulkifli, membuat tawaran itu kepada semua parti dan ia boleh menjadi langkah awal mereka memilih calon yang tepat untuk diturunkan sebagai calon.

"Jika anda nak, kami akan buat. Kalau tidak, tak payah. Tapi rakyat sedang memerhati.

"Adakah anda bercadang membuat saringan dalaman untuk calon masing-masing? Mengapa tak biarkan SPRM saja melakukannya? Kami adalah agensi rakyat.

"Ia tidak bermakna orang yang berkuasa tidak terlibat dalam rasuah tapi SPRM akan bertindak sewajarnya jika mereka terbabit dan rakyat mesti tahu mengenainya," tambah beliau.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS