Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak melihat keperluan bagi gabungan pembangkang menyerahkan senarai calonnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mereka mampu membuat saringan sendiri.
Beliau mengulas pelawaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad kepada parti-parti politik supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring.
“Jika perlu (kami akan menyerahkan senarai itu). Tetapi buat masa ini, saya hanya akan berkata, SPRM itu siapa?” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR hari ini.
Apabila diberitahu bahawa adalah amalan biasa untuk parti BN mengemukakan senarai calon mereka kepada suruhanjaya itu, Wan Azizah berkata bahawa ini adalah kerana BN "mempunyai masalah."
"Ye la, mereka perlu melalui (proses saringan). Senarai mereka mempunyai masalah.
“Kami mempunyai saringan dalaman sendiri. Jika perlu, tentu saja, kami akan menghantar (senarai kepada SPRM)," katnya.
Beliau kemudiannya merujuk "sejarah" SPRM yang melakukan pendakwaan terpilih ke atas pemimpin pembangkang.
"Jadi, kita perlu sedikit waspada. Adakah ini satu helah politik?" katanya.