Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi Utusan Malaysia tempoh 48 jam untuk memohon maaf berhubung artikel muka depan akhbar itu yang bertajuk 'Azmin benar pesta arak'.
Sementara, tajuk kecilnya pula berbunyi “Tidak hirau amaran PDRM mengenai ancaman pengganas" dan tajuk artikel berkenaan berbunyi "Azmin tidak kisah pesta arak di Selangor."
Peguamnya, Latheefa Koya berkata tuduhan yang terkandung dalam artikel itu adalah palsu, berniat jahat dan memfitnah, dengan tujuan mencemarkan nama baik Azmin.
Sehubungan itu, Azmin menuntut penarikan semula artikel berkenaan, permohonan maaf di halaman utama dan janji untuk tidak mengulangi tuduhan sama pada masa akan datang.
"Memandangkan betapa seriusnya dakwaan itu dan pengedaran akhbar yang meluas, sila nyatakan jumlah wang yang kamu sedia bayar sebagai ganti rugi kepada klien kami,” kata peguam itu.
Laporan Utusan semalam memparafrasakan ayat-ayat Azmin yang kononnya berkata, ini sejajar dengan prinsip yang dipegang oleh kerajaan negeri Selangor iaitu untuk menghormati hak kaum dan agama lain.