Kerajaan Pulau Pinang menyangkal dakwaan Putrajaya bahawa RM2.6 bilion telah dibelanjakan untuk projek tebatan banjir di negeri itu.
Dakwaan yang sama dibuat oleh Umno susulan banjir besar di Pulau Pinang pada 15 September lalu yang menyaksikan negeri itu menerima 270mm hujan dalam satu hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik Dan Tebatan Banjir Chow Koon Yeow, berkata fakta menunjukkan bahawa hanya RM1.79 bilion pada asalnya diperuntukkan untuk projek tebatan banjir di negeri itu sejak 2006, dan bukan RM2.6 bilion.
Memaparkan carta oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Chow berkata jumlah yang diperuntukkan kemudiannya diubah menjadi hanya RM461 juta.
"Kita dapat melihat dari carta ini bahawa hanya RM443 juta yang dibelanjakan untuk melaksanakan projek-projek dari tahun 2006 hingga hari ini," kata Chow pada sidang akhbar di pejabtanya di bangunan Komtar, Georgetown, hari ini.
Beliau sekali gus, menyangkal kenytaaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang mendakwa bahawa RM2 bilion telah dibelanjakan untuk projek tebatan banjir di negeri itu.
Zainal Abidin, yang juga adalah pengerusi Umno Pulau Pinang, berkata adalah sangat memalukan bahawa Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Chow tidak tahu tentang perkara itu.
Chow juga menyangkal kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang berkata, sebanyak RM2.6 bilion telah diperuntukkan untuk projek-projek tebatan banjir di Pulau Pinang.
Carta yang dibentangkan oleh Chow hari ini menunjukkan bahawa bagi tempoh 2006 hingga 2010 (Rancangan Malaysia ke-9), RM1.4 bilion telah diperuntukkan, tetapi hanya RM306 juta dibelanjakan untuk projek-projek tersebut.
Bagi tahun 2011 hingga 2015 (RMP ke-10), RM193 juta diperuntukkan, tetapi hanya RM125 juta dibelanjakan.
Manakala bagi tahun 2016 hingga 2020 (RMP ke-11), RM205 juta diperuntukkan tetapi hanya RM12 yang dibelanjakan, menjadikan jumlah dana yang sebenarnya digunakan hanya berjumlah RM443 juta.
"Zainal Abidin cuba menyembunyikan fakta dan menuduh kami mengelirukan rakyat, ini tidak kami lakukan," kata Chow.
Menurutnya, beliau pernah menjelaskan perkara itu pada sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu.
ADUN Umno, termasuk ketua pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid, "memahami" perkara itu, dan mereka berkata adalah lebih baik bagi kerajaan negeri dan persekutuan untuk bekerjasama menyelesaikan krisis banjir, katanya.
"Jika RM2.6 bilion benar-benar dibelanjakan untuk tebatan banjir, banyak kawasan akan terselamat dari banjir kilat.
"Kami tidak berminat berlawan dengan kerajaan persekutuan atau mana-mana menteri tetapi hanya memaparkan fakta kepada mereka.
“Kami berharap Putrajaya akan menyalurkan baki dana seperti yang dirancang supaya kami dapat menjalankan kerja-kerja secepat mungkin," kata Chow.