Sebuah video yang dimuat-naikkan dalam talian oleh stesen radio Hitz.fm mengundang kemarahan warga maya kerana dikatakan memperlekehkan kumpulan transgender atau ‘mak nyah’.
Video dengan kata-kata "Apabila seorang gadis cantik adalah seorang lelaki. Pernahkah anda begitu terkejut sehingga mahu muntah?" itu kemudiannya diterbitkan semula pada laman Facebook peribadi aktivis transgender Nisha Ayub.
Dalam video 23 saat itu, watak berambut panjang itu bertembung dengan dua deejay Hitz.fm, Arnold (Arnold Loh) dan RD (Ryan De Alwis).
Arnold menggalakkan RD untuk menyapa watak itu, yang dianggap sebagai seorang wanita.
RD menghampiri dan menyentuh bahu watak itu dari belakang. Watak itu kemudian berpusing dan bercakap dengan suara seorang lelaki.
RD kemudian dipaparkan menutup mulutnya, manakala Arnold pula terus muntah.
Nisha, yang adalah wanita transgender pertama yang dianugerahkan International Women of Courage Award, berkata bahawa stereotaip negatif yang digambarkan oleh video Hitz.fm itu hanya akan memburukkan lagi diskriminasi yang melanda kumpulan itu.
"Jika kamu rasa mahu muntah, saya rasa jijik bahawa kamu mempunyai mentaliti sedemikian. Apakah mesej yang kamu cuba sampaikan kepada orang ramai?"
Sementara itu, Hitz.fm, dalam satu kenyataan hari ini, berkata bahawa video yang menyinggung itu dikeluarkan dari akaun Facebook dan Instagram stesen berkenaan.
"Kami di Hitz.fm ingin memohon maaf atas video tersebut dan telah mengeluarkannya," kata Hitz.fm kepada Malaysiakini.
Ketika berita ini ditulis, video di laman Facebook Nisha telah dikongsi sebanyak 66 kali, dengan 30 komen.
Seorang pengguna Facebook yang bernama Shahin Harris berkata: "Ini adalah video yang menjijikkan. Tidak pernah tahu bahawa dengan begitu banyak (program) kesedaran orang ramai, mereka boleh menghasilkan video ini. Malu pada mereka."