Paling Popular
Terkini

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak bersetuju taktik rampasan kuasa politik digunakan.

Tambahan pula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, tidak ada sebab untuk berbuat sedemikian ketika ini.

"Saya tidak bersetuju dengan rampasan kuasa politik dan tidak ada sebab untuk rampasan kuasa politik ketika penggal sekarang hampir berakhir," katanya kepada Malaysiakini dalam satu mesej teks.

Spekulasi mengenai kemungkinan rampasan kuasa di Selangor timbul selepas sidang akhbar khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu.

Ia, walau bagaimanapun, menjadi anti-klimaks apabila Najib hanya mengumumkan kepulangan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke pangkuan Umno semula.

Spekulasi sebelum ini tersebar meluas bahawa Najib sepatutnya mengumumkan lebih ramai wakil rakyat di Selangor akan berpaling tadah dan membolehkannya menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PKR.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mendakwa bahawa lebih ramai pemimpin Pakatan Harapan akan mengikuti jejak Muhammad.

Muhammad sebelum ini meninggalkan Umno untuk menyertai PAS dan kemudian bersama PKR.

Disoal apakah BN seharusnya menumpukan tenaganya untuk berkempen daripada melobi supaya ada yang berpaling tadah, Abdul Rahman berkata: "Tidak ada percubaan untuk mereka berpaling tadah."

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak cakap-cakap mengenai kemungkinan paling tadah di di kalangan wakil rakyatnya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua juga menafikan spekulasi itu dan mendakwa bahawa kerajaan negeri sekarang adalah stabil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS