EKSKLUSIF | Dua puluh dua tahun menjadi perdana menteri dan sekurang-kurangnya lima tahun terakhir beliau dilihat sebagai seorang perdana menteri kuku besi.
Pelbagai insiden pada era reformasi selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi bukti pihak tertentu yang masih menganggap beliau tidak layak diikut dalam politik.
Sebenarnya sebelum itu pun Tun Dr Mahathir Mohamad sudah banyak menyusahkan pembangkang. PAS - Anwar masih dalam kerajaan ketika itu - menanggung pelbagai kesulitan.
Di bawah Allahyarham Datuk Fadzil Noor PAS berdepan pelbagai tekanan dan dari satu sisi ia memberi manfaat juga kepada parti itu. Sokongan dapat ditarik daripada orang ramai yang bersimpati.
Dalam keadaan begitu muncul kata-kata 'keramat' bekas ketua pembangkang itu yang mendoakan Dr Mahathir panjang umur supaya beliau dapat melihat hasil tangannya selama ini.
Dan itu jugalah 'fatwa' yang dipegang sebahagian penyokong PAS sehingga ke hari ini: "Makbul doa arwah Ustaz Fadzil."
Ketika Dr Mahathir mengubah paksi politiknya, pengkritik tetap menuntut Dr Mahathir memohon maaf atas segala yang dilakukannya selama ini.
"Jika kita bercakap mengenai rasa kesal dan maaf, kedua-dua pihak perlu melakukannya bersama.
"Saya pernah dipanggil Mahafiraun, saya pernah digelar Mahazalim dan pelbagai gelaran lain yang tak patut, yang salah.
"Saya bukan firaun, saya bukan maha zalim," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya minggu lalu.
PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysua (BERSATU) sebagai salah satu anggota komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Mac lalu.
Siapa yang diktator
Di sebalik kepelbagaian latar dan dasar semua parti yang bergabung dalam pakatan itu, mereka melantik Dr Mahathir sebagai pengerusi.
Ia tidak diterima dengan mudah oleh sesetengah orang, terutama bekas aktivis proreformasi, serta penyokong kuat Anwar yang bertegas mendakwa Dr Mahathir telah menzalimi pemimpin mereka itu.
Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi perdana menteri ramai rakyat di negara ini menikmati hidup yang baik.
"Mungkinlah sesekali saya sangat tegas tetapi saya bukan seorang diktator.
"Kalau saya diktator, saya akan menang 99 peratus kerusi tapi setiap kali ada pilihan raya, banyak parti pembangkang dapat sokongan, malah mereka boleh menguasai negeri.
"Dan semasa saya dalam Umno, saya benarkan orang mencabar saya untuk jawatan presiden, sedangkan Najib tidak. Sesiapa yang mencabarnya akan ditendang keluar dari parti.
"Jadi sekarang, siapa diktator?" katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Untuk rekod semasa zaman Dr Mahathir Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi pilihan raya di negeri itu pada 1990 dan mentadbirnya. Empat tahun kemudian PBS sekali lagi berjaya namun gagal menubuhkan kerajaan negeri ekoran tindakan sebahagian wakil rakyat melompat parti.
PAS pula menguasai kerajaan Kelantan sejak pilihan raya umum 1990. Parti itu turut memerintah Terengganu - selama satu penggal - hasil kemenangan mereka dalam pilihan raya umum 1999.
Bagaimanapun Dr Mahathir menegaskan beliau enggan membangkitkan lagi isu yang sudah berlalu kerana semua pihak bersetuju bahawa Najib perlu disingkirkan.
Dulu jatuh sekarang pulih
Katanya, ada beberapa pihak yang masih mengungkit kisah 18 tahun lalu tetapi jumlah mereka jauh lebih kecil berbanding kumpulan yang bersetuju untuk menumpukan perhatian kepada usaha mengalahkan BN.
Malah, kata Dr Mahathir dari semasa ke semasa beliau melihat sokongan kepada pembangkang semakin bertambah.
"Saya terima hakikat sesetengah orang sukar menerima saya. Tapi tidak ada sesiapa yang boleh mendapat sokongan 100 peratus.
"Di mana-mana akan ada orang yang menentang saya, atau menentang seseorang," katanya.
Beliau kemudian menyatakan keyakinan keadaan akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.
Ketika mula-mula duduk bersama dan bersebelahan dengan veteran DAP, Lim Kit Siang, semasa majlis Deklarasi Rakyat, populariti kedua-dua mereka dikatakan jatuh teruk.
"Kami belum menubuhkan parti (BERSATU). Saya bersama Kit Siang untuk Deklarasi Rakyat dan kami bergambar bersama.
"Rating (tahap sokongan) saya jatuh, dan untuk DAP juga sama, tetapi sekarang sudah naik semula. Rating Kit Siang juga semakin pulih," katanya.
Berita berkaitan:
PM jumpa Trump: Kita rasa malu, Najib senyum saja
Reagan 'belanja' Mahathir semasa ke Rumah Putih
Jika bertanding, Langkawi atau Putrajaya pilihan Dr M
Janji HARAPAN: Kami tahu caranya...
'Saya dimusuhi PAS sejak dulu'
Temu bual ini dikendalikan bersama oleh Al-Abror Mohd Yusuf, Andrew Ong, Zikri Kamarulzaman dan Annabelle Lee.