Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib hari ini kembali ke pangkuan Umno.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

"Beliau sedar perjuangannya dalam pembangkang, terutama PKR, sebagai sia-sia.

"Allah membuka hatinya untuk kembali kepada Umno. Saya yakin beliau mampu untuk menyumbang untuk kejayaan Umno dan BN," katanya.

Muhammad yang lebih dikenali dengan nama Mat Taib itu keluar Umno untuk menyertai PAS pada April 2013, dan kemudian menyertai PKR dua tahun kemudian.

Sidang media itu pada awalnya mencetuskan spekulasi Najib bakal membuat pengumuman berkaitan pilihan raya umum (PRU) ke-14, selepas pemimpin utama Umno dipanggil untuk menyertainya.

Malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa menamatkan programnya di Perlis untuk menghadiri sidang media.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau pulang ke Kuala Lumpur dari Sabah khusus untuk pengumuman itu.

Mat Taib yang duduk di sebelah Najib berkata, keputusan untuk kembali kepada Umno juga kerana bimbang melihat perpecahan di kalangan orang Melayu.

"Saya rasa perjuangan saya (dalam PKR) sia-sia. Saya melihat mesyuarat parti, mereka tidak pernah membincangkan agenda Melayu.

"Tiada cara lain kecuali bersama Umno, yang akan sentiasa memperjuangkan Melayu," katanya yang pernah menjadi naib presiden Umno.

Beliau mendakwa banyak kepentingan orang Melayu terabai di Selangor.

"Orang Melayu mesti bersatu dan bersama-sama Umno yang akan mengukuhkan orang Melayu di negara ini," katanya lagi.

Sementara itu, Najib berkata keputusan tersebut diputuskan Mat Taib sendiri dan beliau tidak ditawarkan sebarang imbuhan mahupun jawatan.

Sidang media itu pada mulanya menjadi penuh tanda tanya, dan hanya beberapa media arus perdana dibenarkan membuat liputan.

Beberapa portal berita serta agensi berita antarabangsa dilarang menyertainya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS