Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
SAM gesa hentikan penarahan bukit di Pulau Pinang
Diterbitkan:  Sep 16, 2017 2:57 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Kumpulan alam sekitar yang berpejabat di Pulau Pinang telah menyuarakan kebimbangan terhadap banjir besar yang melanda bahagian pulau dan Seberang Perai semalam selepas hujan lebat.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan menggesa kerajaan negeri menghentikan semua penarahan bukit ekoran pembangunan berlebihan.

Selain banjir, beliau berkata, SAM juga menerima berita mengenai kejadian tanah runtuh dan lumpur di beberapa kawasan seperti di Tanjung Bungah dan Paya Terubong, di mana terdapat kerja-kerja menarah bukit yang dilakukan untuk projek pembangunan.

"Jelas sekali, walaupun insiden banjir dan tanah runtuh yang berlaku sebelum ini di Pulau Pinang berikutan hujan lebat, kita masih tidak mengambil pengajaran daripadanya," kata Mohamed Idris yang juga presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Antara lain, katanya, kerajaan negeri gagal melaksanakan langkah-langkah pencegahan hakisan tanah, misalnya dengan menanam lebih banyak pokok.

Sebaliknya, tambahnya, kerajaan negeri terus meluluskan lebih banyak penebangan pokok dan penarahan bukit untuk pelbagai jenis projek pembangunan.

"Semua langkah pencegahan banjir terbukti tidak berkesan dan tidak mencukupi jika kita tidak menangani punca banjir kilat dan tanah runtuh yang berpunca akibat daripada penebangan pokok dan penarahan bukit," tambahnya.

Dalam membuat gesaan itu, Mohamed Idris berkata kerajaan negeri harus memastikan semua projek pembangunan pada masa depan hendaklah mesra alam sekitar, dengan mengambil kira trend global di mana lebih banyak hujan dijangka turun akibat daripada kesan perubahan iklim.

"Banyak negara mengambil langkah penyesuaian yang serius selaras dengan kesan perubahan iklim tetapi Pulau Pinang dan Malaysia jauh sekali daripada mempunyai langkah penyesuaian bagi menangani insiden hujan lebat yang akan berlaku dengan lebih kerap," katanya.

Dalam sidang akhbar semalam, exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow berkata 100 tempat di Pulau Pinang telah dilanda ribut dan banjir kilat pagi semalam.

Empangan Air Itam mencatatkan 270mm air, yang merupakan rekod tinggi.

[Baca berita penuh/asal]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS