Paling Popular
Terkini

EKSKLUSIF | Wajahnya kelihatan terkejut apabila kami melangkah masuk ke biliknya di tingkat satu Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam.

"Saya tak menjangkakan seramai ini..." katanya.

Dia melihat kami datang, bersalam dan mengambil tempat. Wartawan KiniTV pula menyiapkan kelengkapan masing-masing untuk mendapatkan sudut yang terbaik.

Dia ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia selama lebih dua dekad. Beliau sudah bersara namun kembali semula ke kancah politik sejak skandal 1MDB diperkatakan.

Sekarang ada satu lagi kemungkinan. Dr Mahathir itu akan kembali ke Dewan Rakyat jika - mengikut katanya sendiri - keadaan benar-benar memerlukan beliau berbuat demikian.

Dengan andaian rambang Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membentuk kerajaan melalui piihan raya umum (PRU) ke-14 nanti, Malaysiakini bertanya kepada Dr Mahathir mengenai tiga dasar terawal yang akan dilaksanakan oleh gabungan itu.

"Kita akan kurangkan cost of living (kos sara hidup), kami tahu bagaimana caranya," kata beliau dengan tegas.

Antara lain, kata pengerusi HARAPAN itu, kerajaan akan mengetepikan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada 1 April 2015.

Kata Dr Mahathir kerajaan HARAPAN mungkin mengambil sedikit masa untuk membatalkan pelaksanaan GST namun ia akan dihapuskan pada akhirnya.

Sebagai ganti katanya kerajaan akan mengembalikan amalan cukai jualan yang dilaksanakan sebelum GST.

"GST ini dibayar oleh semua orang, sama ada kamu suka atau tidak. Apabila pemborong terpaksa membayar GST mereka akan memindahkan kos itu kepada pengguna.

"Kadang-kadang ia dikenakan secara berulang di beberapa peringkat.

"Dengan cukai jualan, kamu hanya membayarnya jika kamu menggunakannya. Pembekal atau pemborong tidak membayarnya (dan kos tidak dipindahkan kepada pengguna)," katanya.

Mengapa tiada wang

Apabila kerajaan mula melaksanakan GST, kata Dr Mahathir, mereka berjanji kutipan itu akan dikembalikan kepada pengguna namun biasanya ia mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.

Buat masa ini katanya ramai orang merungut faedah daripada apa yang mereka bayar melalui GST belum diperolehi.

"Satu lagi perkara yang orang nampaknya belum faham ialah, negara ini lebih kaya berbanding semasa saya dulu. Dulu sebuah syarikat mendapat pulangan RM300 juta sudah dianggap hebat.

"Dan kerajaan mengenakan cukai kepada mereka (syarikat itu). Sebanyak 26 peratus adalah milik kerajaan.

"Sekarang banyak syarikat membuat keuntungan RM1 bilion bagi tempoh setengah tahun, atau malah suku tahun.

"Tapi pada zaman saya dulu kerajaan tak ada masalah kekurangan wang, sedangkan kerajaan sekarang kata mereka tak ada wang? Macam mana mereka tak ada wang?" katanya.

Menjawab sendiri soalan itu Dr Mahathir berkata wang yang ada dalam kantung kerajaan "disalah guna" kerana tidak dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur atau memberi biasiswa.

Sebaliknya kata beliau wang itu diberikan secara percuma "untuk mendapatkan populariti.

"Banyak wang diberi kepada peneroka Felda, nelayan dan lain-lain. Jumlah yang diterima setiap seorang adalah kecil tetapi ada tujuh hingga lapan juta orang yang mendapatnya, seperti BR1M dan sebagainya," kata Dr Mahathir.

Jika struktur kewangan negara dapat disusun semula, katanya, kerajaan mempunyai wang yang cukup untuk memakmurkan negara ini.

"Dan sudah tentu kita tidak akan memberikan wang negara sebanyak AS$20 bilion kepada Amerika," katanya secara sinis, menyindir pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Donald Trump kelmarin.

ECRL tidak perlu

Apakah dua lagi dasar terawal yang dilaksanakan HARAPAN?

"Keperluan mendesak ialah untuk kerajaan mendapatkan semula wang 1MDB," katanya yang menjadi antara pengkritik paling lantang dan awal syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Kata Dr Mahathir, mereka tahu di mana wang berkenaan berada.

"Ia ada pada Najib, pada Rosmah, pada Jho Low," katanya.

Selain itu wang berkenaan sedang dibekukan di bank-bank di Singapura dan negara lain.

"Semua itu akan kita dapatkan untuk dibawa pulang ke negara ini," katanya.

Bagi perbelanjaan lain pula, kata Dr Mahathir, kerajaan baru itu akan membuat penelitian rapi sama ada ia perlu atau tidak.

"ECRL (Laluan Kereta Api Pantai Timur), saya tidak fikir kita memerlukannya. Sekarang orang boleh menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan dalam setengah jam kamu boleh sampai dengan lebih cepat dan lebih murah," katanya.

Menjangkakan projek itu tidak akan menguntungkan, Dr Mahathir mempersoalkan bagaimana kerajaan akan membayar semula hutang negara yang dipinjam dari China dibuat untuk menyiapkan projek ECRL itu.

"Biasanya kamu akan membayar hutang daripada keuntungan pelaburan tapi pelaburan ini bukan saya tidak memberi keuntungan, malah ia mungkin memerlukan subsidi kerajaan," katanya.

Satu lagi tumpuan utama kerajaan HARAPAN, kata Dr Mahathir, ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan industri.

"Najib lebih suka mengimport barang berbanding mengilangnya di sini. Jadi secara umum dia menjadikan produk Malaysia kurang berdaya saing," katanya.

Kata Dr Mahathir banyak dasar kerajaan Najib tidak menguntungkan Malaysia.

Pada masa sama, katanya, HARAPAN mempunyai kepakaran untuk merangsang ekonomi negara.

"Kami ada sedikit pengalaman sebelum ini dan kami juga ada idea-idea baru untuk melakukannya.

"Jadi, sekali lagi (jika ia dilakukan) ekonomi negara akan berkembang pesat dan faedahnya akan dirasai rakyat biasa.

"Bukan macam sekarang - ekonomi berkembang tapi rakyat semakin miskin dan tertekan dengan peningkatan kos sara hidup," katanya.

Berita berkaitan:

PM jumpa Trump: Kita rasa malu, Najib senyum saja

Reagan 'belanja' Mahathir semasa ke Rumah Putih

Jika bertanding, Langkawi atau Putrajaya pilihan Dr M


Temu bual ini dikendalikan bersama oleh Al-Abror Mohd Yusuf, Andrew Ong, Zikri Kamarulzaman dan Annabelle Lee.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS