Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar gesa pembangkang tumpu masalah rakyat
Diterbitkan:  Sep 15, 2017 1:03 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembangkang agar menumpukan perhatian kepada masalah ekonomi yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata isu seperti kenaikan kos sara hidup, harga minyak dan GST sangat menekan rakyat Malaysia.

"Namun bertentangan dengan kenyataan masa kini, kerajaan dan sesetengah pegawai tingginya terus bercakap seolah-olah isu-isu itu tidak memberi kesan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui PKR.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun mendakwa, pembangkang berhadapan cabaran besar dalam membawa isu itu kerana kerajaan menggunakan media kawalannya untuk "mengolah persetujuan" rakyat terhadap dasar mereka.

"Keadaan sebenar rakyat pula diabaikan. Maka penting untuk PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) fokus kepada masalah ekonomi dihadapi rakyat dan menentang rasuah dan salah urus tadbir di bawah BN," katanya.

HARAPAN sebelum ini konsisten berkata akan memansuhkan GST jika menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia dikritik sesetengah pihak yang mempersoalkan apakah perancangan HARAPAN untuk menggantikan pendapatan negara yang hilang.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui masalah yang bakal tercetus jika GST dimansuh serta-merta, dan mencadangkan cukai jualan dikembalikan bagi menggantikannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS