Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Van jenazah mula tiba di perkarangan IPFN HKL
Diterbitkan:  Sep 15, 2017 11:55 AM
Dikemaskini: 4:33 AM

Van jenazah dilihat mula tiba di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), dipercayai bagi membawa jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Setakat ini tujuh van jenazah yang dinomborkan 1 hingga 7 berada di perkarangan IPFN HKL itu.

Seorang pemandu van jenazah dari Masjid Ibnu Khaldun Sungai Besi, ketika ditemui berkata mereka belum dimaklumkan lokasi tanah perkuburan yang akan dituju.

Katanya beliau difahamkan sebanyak 23 van jenazah dari masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan akan digerakkan untuk membawa jenazah ke lokasi pengebumian.

Media melaporkan keputusan ujian DNA dijangka dikeluarkan paling awal pada 3.30 petang hari ini.

Waris dan anggota keluarga mangsa juga sudah mula berada di IPFN untuk menerima jenazah bagi urusan pengebumian.

Dalam kejadian awal pagi semalam itu, 21 pelajar dan dua tenaga kerja yang merupakan warden dan guru pusat tahfiz tersebut, terkorban.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS