Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peristiwa berdarah Kalabakan suntikan pertama semangat kebersatuan

Peristiwa hitam Kalabakan yang berlaku pada 29 Disember 1963 masih segar dalam ingatan penduduk Sabah, terutama bekas anggota keselamatan yang terlibat mempertahankan bumi Sabah daripada dibolosi Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Menurut mereka, peristiwa yang berlaku beberapa bulan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 itu telah memperlihatkan buat pertama kali ‘kebersatuan’ anggota keselamatan gabungan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pada ketika itu, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Semenanjung, pasukan polis hutan, Sabah Home Guard dan penduduk kampung di sekitar Kalabakan bersatu dan berjuang bermati-matian bagi mematahkan serangan penceroboh yang tidak berpuas hati dengan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.

Peristiwa Kalabakan itu telah mengorbankan seorang pegawai dan tujuh anggota dari Batalion ke-3 RAMD manakala 18 anggota lagi cedera selepas mempertahankan pos tentera Kalabakan yang bersempadan dengan Kalimantan Timur, Indonesia.

Bekas anggota Sabah Home Guard Dewan Husin, 74, berkata generasi hari ini seharusnya bersyukur kerana terus lahir dalam keadaan aman dan diwariskan sebuah negara yang selamat serta membangun.

“Generasi kini beruntung kerana tidak diancam ketakutan akibat peperangan dan tidak melalui fasa termasuk perlu bersembunyi di dalam lubang tanah semata-mata untuk menyelamatkan diri.

“Pembentukan Malaysia benar-benar menyuntik semangat kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk berganding bahu dan bersatu padu demi menjaga keselamatan negara,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Kalabakan kira-kira 110 kilometer dari bandar Tawau.

Sehubungan itu, Dewan menyeru rakyat di negara ini supaya sentiasa menghargai keamanan yang telah dikecapi kerana “di sebalik keamanan hari ini banyak nyawa, darah serta harta benda dikorbankan, demi sebuah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia’’.

Menyingkap detik peristiwa itu, Dewan yang terlibat secara langsung dalam tragedi itu berkata pada malam kejadian, ketika sedang berehat di balai polis Kalabakan selepas tamat syif kerja, beliau dan rakan-rakannya dikejutkan dengan bunyi letupan bom tangan dan tembakan bertalu-talu di kem tentera yang menempatkan batalion RAMD yang terletak kira-kira 400 meter dari balai berkenaan.

“Mendengar kem tentera dihujani peluru, kedua-dua lutut saya sejuk namun beberapa minit kemudian darah dalam badan mulai panas dan saya capai senjata untuk membantu anggota RAMD tetapi belum sempat membantu, balai polis turut diserang hendap TNI dengan tembakan dan dibaling bom tangan.

“Polis hutan dan Home Guard juga tidak bersedia dengan serangan TNI di balai, dan pada ketika itu ketua balai turut khuatir kehabisan peluru dan mengarahkan untuk menembak pada sasaran (musuh) sahaja,” katanya.

Dewan yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat bulan pada ketika itu berkata kejadian tersebut juga menyebabkannya “sukar tidur kerana kerap terbayang darah dan mayat bergelimpangan”.

“Selepas kejadian berdarah itu, arahan perintah berkurung dikeluarkan serta-merta dan penduduk di Kalabakan diarah bersembunyi di dalam lubang tanah selain pada waktu malam semua lampu rumah diarah tutup," katanya.

Justeru, beliau mahu generasi muda menghayati sejarah negara dan belajar daripada peristiwa lampau kerana ia merupakan resepi terbaik untuk membina negara bangsa yang memiliki jiwa patriotik dan mampu berdepan cabaran hidup yang semakin kompleks.

Seorang pesara guru, Imran Omar, 71, pula berkata sejarah konfrontasi Indonesia-Malaysia, khususnya peristiwa Kalabakan menyimpan 1,001 cerita yang boleh dijadikan iktibar untuk generasi muda mencorak negara yang diwarisi hari ini.

"Lihat bagaimana selepas pembentukan Malaysia komitmen Tanah Melayu ketika itu menghantar beribu anggota RAMD dan sanggup menggadai nyawa semata-mata memastikan kawalan sempadan di Kalabakan dan Wallace Bay (Pulau Sebatik) tidak dibolosi musuh.

"Sebelum saya ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Kalabakan, saya mengajar di Wallace Bay dan bunyi letupan dapat didengar pada waktu malam dan anggota kita membalas tembakan," katanya sambil menegaskan beliau tetap menjalankan tugas mendidik anak bangsa setiap hari dan terpaksa mengetepikan rasa takut.

Sementara itu, mantan Ketua Daerah Tawau, Salleh Sallabi, 79, berkata konfrontasi Indonesia dan peristiwa Kalabakan itu sendiri menguji gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu pada ketika itu untuk bersatu berdepan Indonesia yang melancarkan perang Ganyang Malaysia serta Filipina yang turut menuntut Sabah.

"Askar Melayu yang diturunkan beroperasi di Sabah bersedia untuk berkorban demi mempertahankan sempadan dan kedaulatan negara tidak dicerobohi," katanya.

Sebab itu, Salleh berkata rakyat Malaysia wajib mencari titik kebersamaan dan menolak perbezaan yang membawa perpecahan dengan melihat setiap kejayaan individu itu sebagai kejayaan bersama seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut mengajak rakyat di negeri ini supaya sama-sama menyambut dan memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2017 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu esok bagi memperingati pembentukan Malaysia (16 Sept 1963).

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS