Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
400 bantah pembinaan kilang kelapa sawit di Sg Ranggam
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 7:23 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Kira-kira 400 nelayan darat dan sebahagian penduduk 15 buah kampung dalam Mukim Kota Setia membantah pembinaan sebuah kilang kelapa sawit yang didakwa dibina secara haram berdekatan Kampung Sungai Ranggam dekat Pasir Salak.

Rata-rata mereka yang ditemui mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera menyiasat bagaimana tapak perindustrian kilang sawit itu boleh dibina, sedangkan status kawasan tersebut merupakan tanah pertanian.

Bantahan itu dibuat kerana bimbang pembinaan kilang tersebut yang berhampiran dengan Sungai Dedap bakal menimbulkan pelbagai masalah apabila beroperasi kelak kerana dikhuatiri sisa buangan akan dilepaskan ke sungai.

Ketua Nelayan Kota Setia, Mamosati Rahmat Ali, 63, berkata beliau risau sisa buangan kilang kelapa sawit itu akan mencemar dan membusukkan air sungai berhampiran, sekali gus mengancam pendapatan nelayan darat dan menjejaskan ekosistem setempat.

"Sudahlah rezeki ikan dan udang sekarang ini makin berkurangan, akan datang bagaimana kami nak sara keluarga jika semua hidupan dalam sungai dah tiada," katanya kepada pemberita ketika ditemui melakukan bantahan di tapak pembinaan kilang itu hari ini.

Menurut beliau, bantahan itu juga dibuat kerana pihaknya tidak mahu terjadi pencemaran sungai seperti yang menimpa nelayan darat di kawasan sungai berhampiran Changkat Jong, Teluk Intan dan nelayan darat di sungai berhampian Lekir, Sitiawan disebabkan kilang beroperasi berhampiran sungai.

Katanya bantahan secara aman itu untuk memohon Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku di kawasan itu.

Seorang lagi nelayan darat Shamsudin Tuah, 52, dari Kampung Sungai Ranggam berkata pembinaan kilang kelapa sawit di situ sudah tentu akan mengundang bau busuk sekali gus memberi ketidakselesaan kepada penduduk terutamanya di Kampung Sungai Ranggam dan Kota Setia.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno bahagian Pasir Salak Dr Faizal Tajuddin berkata beliau hairan bagaimana pihak kilang itu boleh mendirikan kilang sedangkan status tapak didakwa tiada kelulusan pihak berkuasa tempatan serta tanpa mengambil kira keselesaan dan kepentingan penduduk.

Selain dibimbangi memberi kesan alam sekitar, katanya, sebelah tapak kilang itu merupakan tapak perumahan untuk generasi kedua penduduk kampung mukim Kota Setia yang telah diperjuangkan oleh pemimpin setempat sejak sekian lama.

Faizal berkata pihaknya telah membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana musykil mengapa pihak kilang tersebut berani membina projek sedangkan tiada sebarang kelulusan.

Sementara itu, wakil pihak kilang Sharudin Arif ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan melakukan perbincangan dengan ketua kampung serta pihak terlibat dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah itu.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS