Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Siapa menyangka, sehelai nota bertulisan tangan daripada anaknya akan menjadi kenangan terakhir untuk Norhayati Karim, 42, dan suaminya.

Anaknya, Amiel Ashraf Abd Rasid, 11, antara salah seorang daripada 24 mangsa kebakaran yang menimpa pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Lebih menyedihkan, arwah memberikan nota syahdu itu ketika pertemuan mereka semalam - tidak sampai 24 jam sebelum tragedi itu terjadi.

Antara kandungan nota itu adalah betapa Amiel kepada kedua ibu bapanya, serta tujuan dia masuk ke tahfiz untuk membantu mereka ke syurga.

“Ibu ayah, Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu ayah, Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini.

"Amiel tak tahu macam mana nak balas jasa budi ayah dan ibu, hanya ini sahaja yang Amiel mampu (iaitu) masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga firdaus,” kata Amiel.

Norhayati yang ditemui di surau Ittifaqiyah berhampiran pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Ujung tidak dapat menahan air matanya mengenang apa yang berlaku.

Menurut Bernama, sejumlah 14 penghuni berjaya diselamatkan, namun enam daripadanya dalam keadaan kritikal dan kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan kesemua 24 jasad yang ditemui mati dalam keadaan rentung dan bertindih antara satu sama lain.

Beliau juga berkata pusat itu hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan menyebabkan sebahagian penghuni gagal menyelamatkan diri.

Nota pertama dari Amiel

Norhayati berkata dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada pukul 7.30 pagi.

Ketika menerima nota itu semalam, katanya lagi, beliau sempat memeluk dan mengucup pipi anak sulung dari empat beradik itu.

Katanya, Amiel dalam keadaan ceria dan sempat berpesan agar nota itu dibuka hanya apabila beliau tiba di rumah selepas kunjungan itu.

"Saya masa terima cuma terharu dan tidak rasa yang ganjil masa itu.

"Cuma dia kata ibu jangan baca dekat sini (sekolah tahfiz) tetapi baca di rumah," katanya sambil menambah itu pertama kali Amiel menulis nota kepadanya.

Wanita berusia 42 tahun itu berkata, Amiel bercita-cita ingin menjadi hufaz (hafal al-Quran) dan ustaz.

Beliau bagaimanapun reda dengan pemergian anaknya dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak mengenai insiden itu.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS