Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis sahkan semua 24 jasad mangsa pusat tahfiz rentung

Semua 24 jasad yang ditemui di tingkat paling atas pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pagi ini dalam keadaan rentung dan bertindih antara sama lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata jasad ditemui di dua kawasan berasingan di tingkat yang menempatkan 36 pelajar, di bangunan tiga tingkat itu.

"Siasatan mendapati keadaan 24 mayat rentung dan bertindih antara satu sama lain akibat kebakaran itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pagi ini.

Amar Singh juga berkata pusat tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

Keadaan tingkap di madrasah berkenaan juga tidak mempunyai aspek keselamatan yang membolehkan ia digunakan untuk kecemasan.

Kebakaran dipercayai bermula di bahagian pintu masuk tersebut.

Amar Singh berkata seramai 14 pelajar dan empat guru yang sama menghuni di pusat berkenaan terselamat dalam kejadian itu.

Semua pelajar lelaki itu berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Katanya daripada 14 yang diselamatkan, enam mengalami kecederaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Litar pintas punca kebakaran

Semua mayat akan dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga dan bedah siasat.

Katanya polis juga sedang menyiasat dakwaan pusat tahfiz tersebut beroperasi tanpa permit.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan.

Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Ujung, di Kuala Lumpur pada 5.15 pagi tadi.

Semenara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran di pusat tahfiz itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Timbalan pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Obaidat Mohamad hari ini berkata litar pintas itu dipercayai berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

Beliau berkata perkara itu berkemungkinan berlaku kerana mayat-mayat pelajar dan guru tahfiz ditemukan di bahagian kiri dan kanan bilik asrama tingkat tersebut.

"Mereka dipercayai cuba menyelamatkan diri dari kawasan kebakaran di tengah bilik dan cuba menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap.

"Bagaimanapun, tingkap asrama tersebut dilengkapi jeriji menyukarkan mereka untuk keluar, tambahan pula hanya terdapat satu pintu sahaja untuk keluar dan masuk dari bilik asrama tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa sedih atas tragedi kebakaran pusat tahfiz itu.

"Innalillah... Amat sedih baca Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar dan korban lebih 20 nyawa. Moga roh dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di laman Twitter hari ini.

Perdana menteri masih berada di luar negara selepas melakukan lawatan kerja di Amerika Syarikat dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS