Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Krisis kesihatan' di depoh imigresen Tanah Merah
Diterbitkan:  Sep 13, 2017 6:27 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendedahkan satu lagi pusat tahanan yang sangat kotor sehinggakan para pekerja di sana jatuh sakit. Kali ini, tempat pemeriksaan mereka ialah depoh imigresen Tanah Merah di Kelantan.

Menurut pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail, tempat tersebut sesak serta kotor dengan pengudaraan yang teruk, kurang kawasan riadah dan terdapat tandas yang tersumbat.

"Disebabkan keadaan yang sangat teruk, malahan kakitangan di tempat itu juga berdepan dengan masalah kesihatan yang serius.

"Suhakam berpandangan keadaan yang teruk itu boleh menyumbang kepada masalah kesihatan mental di kalangan tahanan dan kakitangan," kata Razali dalam kenyataan media hari ini.

Krisis kesihatan

Razali berkata delegasi Suhakam mendengar dari para tahanan yang menderita sakit perut, sakit belakang dan kudis.

"Pada pandangan kami, tidak sesuai meletakkan hanya seorang pembantu kesihatan sekarang untuk merespon krisis kesihatan ini kerana jumlah tahanan dan keadaan buruk masalah kesihatan mereka," kata beliau.

Beliau menjelaskan pusat tahanan tersebut digazetkan untuk 350 orang (250 lelaki dan 100 wanita). Bagaimanapun, semasa lawatan pemeriksaaan itu, delegasi Suhakam mendapati ada seramai 429 tahanan dan daripada jumlah tahanan itu terdapat 35 tahanan wanita serta 82 tahanan kanak-kanak.

Beliau berkata setiap tahanan diperuntukkan bajet makanan sebanyak RM6, yang menurut Suhakam tidak mencukupi.

"Namun demikian, Suhakam mendapati mutu makanan dan jumlah air diterima dan selari dengan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Kawasan dapur dan penyediaan makanan dijaga dengan baik dan didapati bersih," kata Razali.

Beliau berkata Suhakam akan terus memantau dan meninjau kesemua pusat tahanan untuk memastikan piawaian hak asasi manusia sejagat dapat dinikmati tahanan.

Suhakam juga mahu bekerja sama dengan Kementerian Dalam Negeri dan pertubuhan masyarakat sivil bagi memperbaiki keadaan pusat-pusat tahanan.

Sebulan yang lalu, Suhakam membuat rumusan yang sama setelah melawat lokap polis Ayer Molek di Johor.

Pesuruhjaya Jerald Joseph berkata keadaan tempat itu 'tidak sesuai untuk didiami manusia.'


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS