Pemimpin dan portal milik Umno hari ini sibuk mempertahankan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) untuk perjumpaan dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Azman Jaafar dalam satu kenyataan berkata Najib diberikan layanan kelas pertama dan sekali gus menyangkal imej perdana menteri begitu buruk di mata dunia.
"Kepada mereka-mereka yang memahami ilmu bahasa gerak badan, ternyata sambutan dan layanan Presiden Trump terhadap Najib menunjukkan betapa mesra dan yakinnya seorang pemimpin dunia terhadap perdana menteri.
"Perlakuan Trump amat jelas menunjukkan kemesraan antara mereka berdua bukan dibuat-buat, malah ikhlas dan penuh keyakinan," katanya.
Semalam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kunjungan Najib ke Rumah Putih bukan lawatan rasmi ketua kerajaan seperti kelazimannya.
Hujahnya berasaskan bahawa ketiadaan protokol tertentu seperti tidak ada upacara sambutan rasmi yang diadakan semasa ketibaannya dan Najib tidak disediakan penginapan di Blair House, iaitu rumah untuk tetamu negara.
Perdana Menteri sebaliknya dilaporkan menginap di Trump International Hotel di Washington DC.
Sementara itu, portal mesra Umno, Mykmu.net mempertahankan janji Najib semasa pertemuan dengan Trump bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur AS$3 hingga 4 bilion sebagai membantu "pembangunan semula infrastruktur di AS".
“Yang bodoh-bodoh ini tidak tahu, KWSP sentiasa melaburkan wang dalam pegangan mereka, kalau tidak bagaimana mahu bayar dividen - minimum 4 peratus - kepada pencarumnya? Nanti dividen rendah, yang memekak macai juga.
“Patutnya pelaburan besar ini dilihat sebagai peluang untuk KWSP mendapat pulangan tinggi yang kemudiannya akan ditejermahkan dalam bentuk dividen tinggi kepada rakyat. Ini disebut dalam konotasi negatif pulak seolah pelaburan ini pasti membawa kerugian,” kata portal itu.
Najib dalam perjumpaan dengan Trump memulakan ayatnya dengan "Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan.
"Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," katanya.
Selain pelaburan oleh KWSP, Najib antara lain berkata, Malaysia komited untuk membeli 25 Boeing 737 Max 10 dan lapan Boeing 787 Dreamliners dan kebarangkalian besar negara menambah 24 atau 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat menjadikan janji niaga itu bernilai melebihi AS$10 bilion.
Mengulas perkara itu, Azman berkata minat Malaysia untuk membeli beberapa buah kapal terbang Boeing adalah bukti jelas bahawa negara ini bukan sebuah negara yang gagal seperti yang dicanangkan oleh pembangkang.
“Persoalan saya? Apakah ini tanda-tanda bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang gagal dan hendak bankrap?
“Hanya mereka yang sakit otak, bersifat dengki, iri hati dan buta hati sahaja yang tidak mahu dan menerima hakikat bahawa kepimpinan Najib adalah terbilang dan terbaik,” katanya.
Beliau juga berkata dakwaan siasatan jenayah oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB yang berkaitan Najib sebenarnya adalah cerita rekaan jahat oleh pembangkang.
“Umumnya akan mengetahui bahawa bukan semudah itu seseorang pemimpin dunia dapat bertemu dengan Presiden AS.
“Kejayaan Najib dijemput oleh Trump sebagai Presiden AS adalah suatu kebanggaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia sebenarnya,” katanya.