Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Berdiam diri tanda HARAPAN setuju pesta arak
Diterbitkan:  Sep 13, 2017 4:20 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Pemuda PAS mencabar Pakatan Harapan (HARAPAN) menyatakan pendirian terhadap isu penganjuran pesta arak yang dijadualkan pada Oktober depan di ibu negara.

Naib Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya gabungan pembangkang berdiam diri, ia membuktikan bahawa HARAPAN bersetuju dengan pesta berkenaan.

"Berdiam diri bererti bersetuju dan bersekongkol, sekali gus mengesahkan DAP adalah ‘ketua’ sebenar HARAPAN yang tidak berani disanggah sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, tindakan DAP yang lantang mempertahankan pesta berkenaan juga dilihat bukan sahaja biadap tetapi juga provokasi terhadap umat Islam.

"DAP bukan sahaja merai dan menyertai penganjuran berkaitan, bahkan juga telah terbukti begitu ‘sehati sejiwa’ dengan kerajaan BN yang tidak pernah menyatakan ketegasan sebenar kepada isu ini sejak sekian lama," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli menggesa kerajaan membatalkan penganjuran pesta arak berkenaan dan menghormati Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaan.

“Walaupun meminum arak menjadi gak golongan bukan Islam yang menjadi sebahagian rakyat negara ini, namun menjadikan satu penganjuran pesta ke tahap festival tidak seharusnya berlaku di negara ini.

"Ia tidak mencerminkan realiti budaya Malaysia, bahkan juga rantau ini,” katanya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata festival itu tetap akan diteruskan walaupun mendapat tentangan daripada PAS.

Teng berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak berhak melakukan apa sahaja aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.

Menurutnya, PAS juga perlu faham bahawa Malaysia sebuah negara majmuk dan bukan hanya orang PAS tinggal di negara ini.

PAS sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada akan mengadakan protes terhadap penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 yang dijadual pada 6 Oktober depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS