Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesta arak: PAS tuntut jaga sensitiviti, DAP kata teruskan
Diterbitkan:  Sep 12, 2017 2:21 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Dua exco kerajaan negeri Selangor yang juga adalah pemimpin kanan parti masing-masing - PAS dan DAP - hari ini bertelagah mengenai kewajaran sebuah pesta arak yang dijadualkan diadakan di ibu negara pada Oktober depan.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, semua pihak khususnya bukan Islam lebih sensitif dengan penganjuran apa jua aktiviti yang melibatkan minuman beralkohol.

Katanya, tindakan itu bagi menjaga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

"Arak memang bertentangan dengan Islam jadi kita sedar sepatutnya tidak memperbesarkan perkara ini memandangkan agama rasmi kita Islam dan kena jaga sensitiviti umat Islam dalam hal ini

"Kita adalah masyarakat berbilang kaum dan dengan masyarakat majoriti yang bilangan umat Islam yang tinggi dan sesiapa yang ingin menganjurnya apa-apa aktiviti sebagainya harus lebih sensitif tentang perkara ini," kata Iskandar.

Iskandar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2018 di Shah Alam, hari ini.

PAS sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada akan mengadakan protes terhadap penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 yang dijadual di ibu negara pada 6 Oktober depan.

Semalam, Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Nohd Nor menyatakan rasa kesal Malaysia dipilih sebagai lokasi pesta walaupun atas nama pelancongan dan untuk bukan Islam.

Masyarakat majmuk

Better Beer Festival adalah acara tahunan untuk merasai produk pengeluar bir bebas. Penganjuran masuk tahun keenam pada tahun ini dianjurkan oleh MyBeer (M) Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim yang hadir pada majlis sama ketika ditemui Malaysiakini berkata Malaysia sebuah negara demokrasi dan semua pihak berhak melakukan apa saja aktiviti selagi ini tidak menyalahi undang-undang.

Malah, kata Teng, PAS juga kena faham bahawa Malaysia sebuah negara majmuk dan bukan hanya orang PAS sahaja yang tinggal di negara ini.

"Ini satu demokrasi jadi semua orang ada kebebasan untuk menentang tetapi orang lain juga ada kebebasan untuk menguruskan yang tidak menyalahi undang-undang.

"Jadi, dia juga kena fahamlah ini masyarakat majmuk. Malaysia ini bukan ada orang PAS sahaja, ramai orang bukan PAS dan majoriti lebih pada orang bukan PAS," katanya.

Kata Teng, pesta arak itu tetap akan diteruskan meskipun mendapat bantahan dan tentangan daripada PAS.

"Dia boleh teruskan protes dan kita boleh teruskan dengan aktiviti," katanya.

Ini bukanlah kali pertama PAS membantah acara seumpama itu. Pada 2014, parti itu lantang membantah penganjuran pesta 'Octoberfest'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS