Bagi anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Nor Safuan Nordin, dilemparkan maki hamum dan kata-kata kesat ketika menjalankan tugas bukan sesuatu yang luar biasa.
“Memang setiap hari, hari-hari memang kena marah, kena maki,” katanya.
Nor Safuan mencuri tumpuan selepas rakaman video seorang wanita terjerit-jerit dan mengugutnya dengan sebatang kunci stereng kereta menjadi tular.
Insiden itu berlaku kira-kira jam 1 tengahari di pusat komersil Bandar Puteri Puchong pada Rabu lalu.
Sebagai anggota MPSJ yang mempunyai 10 tahun pengalaman, termasuk dua tahun di bawah unit pengapit, beliau kini lali dengan layanan buruk oleh masyarakat setempat hampir setiap hari.
“Benda ini tak ada siapa yang suka kena kapit (clamp), kena keluar duit RM80 untuk buka clamping.
“Siapa-siapa pun pun akan marah, melenting. Kalau yang memang dalam diri dia ada perasaan panas baran selalu, (mereka akan) maki hamun kita.
“Benda itu (cacian dan maki hamum) memang dah jadi makanan untuk anggota clamping. Mencarut-carut memang biasa,” kata Nor Safuan, 31.
Namun, katanya, insiden diugut dengan batang kunci stereng itu bukan yang paling buruk yang pernah dihadapinya.
“Sebelum ini, dulu masa sita (gerai) penjaja, (kami) kena acu (dengan) parang, dulu,” katanya.
Terdahulu, Nor Safuan menerima sijil penghargaan daripada ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh, wakil rakyat Kinrara Ng Sze Han dan timbalan presiden MPSJ Zulkurnain Che Ali.
Bercakap kepada wartawan, Hannah berkata, pemberian sijil kepada Nor Safuan dan rakan-rakan dari unit clamping MPSJ adalah sebagai menghargai skop kerja mereka.
Katanya, tidak ada orang yang suka apabila tayar kenderaan mereka dikapit.
“(Mereka) setiap hari keluar berdepan dengan warga Malaysia yang marah kereta kena kapit.
“Clamping membawa kesulitan kepada pemandu, Tetapi meletak kereta secara haram pula memberi kesulitan kepada pengguna lain,” katanya.