Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Kedah mangkat
Diterbitkan:  Sep 11, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah mangkat pada 2.30 petang tadi di Istana Anak Bukit di Alor Setar.

Almarhum baginda, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, berusia 89 tahun.

Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman DiRaja hari ini memutuskan bahawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Ahmad Bashah berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum baginda kemudian akan dibawa melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja Langgar untuk dimakamkan pada 4 petang.

Ahmad Bashah berkata sepanjang tiga hari bermula hari ini, bendera Kedah, bendera Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang manakala tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari.

"Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya.

Beliau turut mengumumkan cuti kelepasan am untuk seluruh negeri Kedah esok tetapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berjalan seperti biasa.

Almarhum Sultan Abdul Halim turut melakar sejarah dengan menjadi satu-satunya Raja-raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 (21 September 1970 - 20 September 1975) dan yang ke-14 (13 Disember 2011 - 13 Disember 2016).

Almarhum diputerakan di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah sebagai Tunku Abdul Halim pada 28 November 1927. Almarhum Baginda merupakan putera kedua Tunku Badlishah bersama Tunku Safiah Tunku Mahmud yang kemudiannya dilantik menjadi Raja Muda Kedah pada 1949.

Selain itu, baginda ialah anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, perdana menteri Malaysia yang pertama.

Jawatan Raja Muda Kedah sekarang dipegang oleh Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang dimasyhurkan pada 15 Disember 2016.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 Nov 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan.

Tunku Sallehuddin, 74, adalah juga adinda Tuanku Abdul Halim.

Sementara itu, sembah takziah serta menzahirkan rasa sedih dan dukacita mula mencurah-curah termasuk di media sosial.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau dan Sultan Abdul Halim mempunyai hubungan yang akrab sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi selama ini.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya berasa sedih dan dukacita menerima berita kemangkatan Tuanku Sultan Kedah.

“Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja negeri Kedah.

“Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan di Twitter dan Facebook beliau.

Perdana Menteri berkata Almarhum Tuanku Abdul Halim adalah seorang Raja Pemerintah yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh dua penggal, dan juga sebagai pemerintah Kedah.

Najib turut menyifatkan Almarhum Tuanku Abdul Halim sebagai peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut merafak sembah takziah kepada seluruh keluarga, kerabat diraja dan rakyat Kedah.

“Salam takziah buat seluruh keluarga, kerabat Almarhum Tuanku & seluruh rakyat Kedah. Semoga dicucuri Rahmat Allah SWT. Al Fatihah,” katanya dalam catatan Twitter beliau.

Kerajaan negeri Kedah mengumumkan Tuanku Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 2.30 petang tadi.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam catatan di Twitter beliau turut merafak sembah takziah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.

“Merafak sembah takziah atas kemangkatan DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” kata Salleh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS