Sultan Muhammad V hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2017 sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Keberangkatan tiba baginda di Istana Negara di sini diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sejurus tiba baginda diiringi ke peterana diraja dan disusuli alunan lagu Negaraku.
Seri Paduka kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dibarisi seorang pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Azlan Shah Baharom, disertai 21 das tembakan.
Sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, seramai 1,518 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2017.
Pada 24 April lepas, Sultan Muhammad V ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh istiadat di Istana Negara.
- Bernama