Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Derma PIBG: Jabatan akan semak dengan LHDN
Diterbitkan:  Sep 8, 2017 7:10 AM
Dikemaskini: 11:12 PM

Jabatan Pendidikan Negeri akan menyemak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai syarat pengecualian cukai kepada individu yang menderma kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata sekiranya penderma dikecualikan daripada membayar cukai, ia akan mengalak lebih ramai individu menyumbang kepada tabung PIBG memandangkan jumlah kutipan dermanya masih sedikit.

"Setakat ini yang saya tahu individu yang menderma kepada perpustakaan sekolah bagi meningkatkan prasarana kemudahan itu boleh dikecualikan daripada membayar cukai.

"Bagi yang menderma kepada tabung PIBG pula, kita akan semak dengan LHDN. Sebenarnya LHDN menyediakan pengecualian cukai kepada pihak yang memberi sumbangan kepada sekolah dan universiti yang mana penderma boleh memohon (pengecualian cukai) kerana ia tidak melanggar akta pendidikan yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi wawancara Konvensyen PIBG peringkat negeri Perak penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) 2017 sempena Festival of Ideas di Ipoh semalam.

Mengenai program semalam, Muhammad Amin berkata konvensyen bertemakan 'Penggerak Kecemerlangan Sekolah dan Modal Insan' menghimpunkan kira-kira 700 pengetua, guru besar, anggota PIBG di seluruh negeri itu.

"Konvensyen ini adalah platform kepada mereka untuk meluahkan pandangan atau bertanyakan soalan berkaitan peranan PIBG dalam membantu pihak sekolah meningkatkan kemajuan pendidikan," katanya.

Sesi wawancara itu dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut berkesempatan beramah mesra dan berkongsi pandangan dengan mereka yang hadir.

Terdahulu, dalam majlis berasingan Zambry berkata penganjuran Festival Of Ideas memberi peluang kepada masyarakat melontarkan pandangan dan idea terhadap pelbagai perkara terutama daripada sudut pembangunan negeri.

Katanya kerajaan negeri sentiasa terbuka dan akan menerima semua pandangan serta idea yang diluahkan sama ada daripada sudut positif atau sebaliknya.

"Kita tidak pernah menutup pintu untuk sesiapa menyumbangkan idea kerana pada peringkat dasar, kita sentiasa menerima segala pandangan demi penambahbaikkan pembangunan negeri.

"Oleh yang demikian, penyertaan daripada warga negeri terutama belia amat dialu-alukan bagi memeriahkan lagi festival ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Land Development Scenario: Issues and Challenges di Ipoh semalam.

Zambry berkata festival yang berlangsung selama lima hari bermula 6 Sept lalu merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk memperkenalkan Perak ke peringkat antarabangsa.

"Festival of Ideas ini bukan hanya program bersifat tempatan malah turut melibatkan peringkat antarabangsa, dan ia di buktikan dengan penyertaan World Assembly of Youth serta Commanwelth Youth Council," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS