Paling Popular
Terkini

RENCANA Persepsi umum bahawa warga emas terlalu tua untuk intim dengan pasangan dan menikmati hubungan seks adalah omong kosong semata-mata dan juga hanya satu mitos.

Sebenarnya, ia adalah stigma sosial yang tidak menggalakkan golongan tua untuk terus menikmati kehidupan seks, yang akhirnya boleh menyumbang kepada kemurungan dan kesunyian pada zaman emas mereka.

Menurut Profesor Dr George Lee Eng Geap, Pakar Perunding Urologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, pasangan yang lanjut umur jangan tunduk kepada tanggapan yang salah dalam masyarakat, yang menyatakan bahawa seks bukan untuk warga emas.

“Seks adalah penting dalam hubungan kerana ia mengekalkan keghairahan dan memupuk ikatan istimewa serta keintiman yang hanya dialami antara pasangan,” katanya selepas pembentangan Pfizer Global Sexual Habits Survey kepada media baru-baru ini.

Menopaus lelaki tak drastik

Dr Lee berkata secara teknikal, lelaki boleh mempunyai hubungan seksual dan menikmati kehidupan reproduktif sepanjang hayat.

Namun, terdapat satu keadaan yang disebut sebagai kekurangan testosteron tetapi secara keseluruhannya, kesan menopaus lelaki tidak begitu drastik.

“Bagi wanita, hormon akan terus berkurangan sehingga hampir kepada sifar, tetapi ia berlaku secara beransur-ansur bagi lelaki. Doktor hanya akan campur tangan apabila nafsu berahi lelaki yang menyusut memberi kesan terhadap kesihatan atau hubungan mereka,” katanya.

Tidak dapat dinafikan, orang dewasa yang lebih tua akan mengalami perubahan dalam badan yang berkaitan dengan usia dan ia boleh menjejaskan fungsi seksual serta stamina.

Untuk itu, penting bagi individu berkenaan untuk kekal sihat dan tidak malu bertemu doktor untuk mendapatkan bantuan.

“Ereksi sepenuhnya mungkin sukar dicapai, jadi anda mungkin memerlukan sedikit bantuan. Khuatir jika saya mengalami disfungsi ereksi? Adakah saya mengambil ubat yang akan menyebabkan ketagihan? Adakah saya akan mati secara tiba-tiba? Persoalan seumpama itu, kesemuanya adalah stigma, jadi serahkan persoalan itu kepada doktor.

“Kemudian apabila anda kembali seperti sediakala, maka anda mungkin tidak memerlukan ubat itu lagi,” jelas Dr Lee lagi.

Hubungan seks lepas wanita putus haid

Umumnya, subjek keinginan seks di kalangan wanita berumur dianggap menjadi satu kepantangan untuk dibincangkan. Bagaimanapun, bagi Dr Lee, persepsi yang salah itu banyak memberi kesan kepada wanita.

“Mereka mungkin menyangka bahawa itulah keadaan yang sepatutnya berlaku, walaupun hakikatnya tidak,” katanya sambil menambah bahawa beberapa kajian mendakwa kehidupan seks wanita meningkat selepas menopaus atau putus haid.

Salah satu sebabnya adalah pada usia sedemikian, mereka telah bebas daripada kebanyakan komitmen umpamanya gadai janji selesai dibayar dan anak pula sudah dewasa. Selain itu, tidak ada tekanan untuk hamil mahupun kebimbangan mengenai kontraseptif dan waktu yang sesuai untuk bersama.

Tambah Dr Lee, satu lagi faktor penting adalah terapi penggantian hormon (HRT) yang kini digunakan secara berleluasa di kalangan wanita melebihi usia 40 tahun.

“Kekeringan atau mood, yang sering kali dikaitkan dengan wanita selepas menopaus kini bukan lagi halangan fisiologi kepada wanita.

“HRT memperbetulkan banyak kelemahan fisiologi wanita dan membolehkan mereka menikmati hubungan yang lebih baik dan lebih bahagia,” katanya.

Semarakkan hubungan dengan merancang

Sesuatu hubungan jika tidak dipelihara, sama sahaja dengan keadaan tumbuh-tumbuhan yang akhirnya akan layu.

“Ketika ada anak, timbul kebimbangan kewangan atau ketika menghadapi tekanan, anda akan mengetepikan seks dan secara perlahan-lahan menidakkan keutamaannya.

“Suatu hari apabila anda bersara dan semua tanggungjawab diselesaikan, anda akan menyedari bahawa keajaiban dan keghairahan antara anda dan pasangan telah hilang.

“Malah, anda tidak boleh ingat bila kali terakhir mengadakan hubungan seks,” katanya sambil menambah bahawa langkah pertama yang diambil adalah mengenal pasti daya tarikan seks.

Perkara kedua pula adalah mengakui bahawa anda tidak ‘bersama’ untuk seketika dan mungkin tidak bernafsu untuk ‘melakukannya’ lagi.

Beliau mencadangkan agar merancang waktu yang sesuai untuk berhubungan seks sebagai usaha memulihkan keadaan seperti sediakala. Merancang waktu yang sesuai untuk ‘bersama’ memberi ruang kepada pasangan agar bersedia untuk melakukannya. Ringkasnya, ia akan membantu pasangan untuk mendapatkan ‘mood’ yang sesuai.

“Perbezaan keinginan antara pasangan adalah perkara biasa. Bukanlah sesuatu yang menyihatkan untuk memikirkan soal keintiman seks ketika anda tidak bernafsu untuk melakukannya,” katanya sambil menambah, penyelidikan lalu juga menunjukkan bahawa perselisihan berkaitan seks boleh menjadi sangat sukar untuk diselesaikan.

Pasangan muda juga digalakkan merancang untuk ‘bersama’ terutamanya mereka kini sibuk menguruskan keluarga dan kerjaya masing-masing.

Kesibukan gaya hidup masa kini yang memerlukan pasangan lebih banyak melakukan perjalanan ke merata tempat menyebabkan mereka jarang bertemu, sekali gus memberi kesan kepada tabiat seksual pasangan berkenaan.

Di samping itu, Dr Lee mendedahkan bahawa terdapat perbezaan keutamaan dalam hubungan seks di kalangan lelaki dan wanita.

Menurut kaji selidik, lelaki lebih mengutamakan seks di mana mereka meletakkan keutamaan seks pada tangga kelapan daripada 17, manakala wanita meletakkan seks pada tangga ke 14 daripada 17 dalam keutamaan mereka, termasuk kehidupan keluarga, kesejahteraan kewangan dan pekerjaan/kerjaya.

“Itu adalah perbezaan yang besar dalam hubungan bagai pasangan, jadi mengapa anda tidak merancang? Hargailah setiap detik kehidupan,” katanya.

- Bernama
 


Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS