Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS umum kejutan sebelum himpunan 'Fastaqim 2.0'

PAS akan mengumumkan kejutan seminggu sebelum berlangsung Perhimpunan Fastaqim 2.0 yang bakal berlangsung hujung bulan ini, kata Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan.

Nasruddin berkata, perhimpunan tersebut dijadual pada 29 dan 30 September dan akan diadakan di pantai Tok Jembal, Terengganu dengan membariskan kehadiran semua pimpinan PAS.

“Kita ada beberapa kejutan yang saya akan maklumkan seminggu sebelum Fastaqim 2.0.

"Apa yang paling penting ia menjadi medan dua peringkat iaitu akar umbi parti, pemimpin peringkat negeri dan penyokong PAS.

“Peringkat kedua pula iaitu sokongan orang ramai dari NGO, rakan yang lain, individu beri sokongan padu yang akan memenangkan Gagasan Sejahtera pada PRU nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur hari ini.

Gelombang hijau hadapi PRU

Katanya, perhimpunan itu merupakan isyarat bahawa parti Islam itu sudah bersiap sedia dengan 'gelombang hijau' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Mesej utama memastikan PRU ini milik gelombang ketiga, ia adalah apa yang kita sebut gelombang hijau, sebelum dari ini menyaksikan pelbagai kebangkitan, seperti tsunami Cina, tapi kali ini gelombang hijau.

“Himpunan ini menunjukkan kami sudah bersiap sedia menghadapi PRU, ia akan menjadi sejarah besar dalam Fastaqim 2.0,” katanya yang menyasarkan kehadiran 200,000 orang.

Nasruddin yang juga Pengurus kepada himpunan itu berkata, himpunan itu akan disertai pelbagai pihak termasuk parti politik dalam gagasan Sejahtera, NGO dan penyokong PAS.

Mengenai Terengganu dipilih sebagai lokasi kepada himpunan itu, Nasruddin berkata ini kerana PAS yakin dapat menawan negeri tersebut.

Jelasnya, Fastaqim dalam bahasa Arab bermaksud ‘kebangkitan’ dan ia digerakkan oleh PAS untuk melaksanakan perintah Allah.

“PAS pasti islam, kita konsisten memperjuangkannya untuk keadilan semua, segala bentuk penyelewengan, rasuah dibasmi dan mengembalikan kesejahteraan Islam. Kita tak nak diancam pihak luar, tapi sejahtera dengan Islam,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS