Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad yang baru.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menerusi satu kenyataan media, hari ini.
"Saya ingin memaklumkan pelantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad yang baru.
"Beliau menggantikan Tan Sri Ismail Adam yang telah tamat tempoh pelantikannya pada 31 Ogos lalu," katanya.
Selain itu, Najib turut mengumumkan, Khalid yang baru bersara sebagai ketua polis negara semalam juga dilantik sebagai duta khas bagi meningkatkan hubungan dalam usaha perangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.
"Ini memandangkan pengalaman meluas serta hubungan baik Khalid dengan agensi antarabangsa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai ketua polis negara dalam menangani masalah tersebut," katanya.
Jawatan ketua polis negara sekarang disandang oleh bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.
Semalam, beliau semasa menerima tugas baru, berikrar mahu terus menumpukan usaha memerangi pengganas sebagai agendanya.