ULASAN l Cinta kepada Umno adalah cinta yang lain daripada yang lain, hanya setandingan dengan jahiliah, era pra-Islam. Walaupun begitu, untuk mendapatkan sisa-sisa sokongan yang ada, kepimpinan dalam Umno membuatkan ahlinya tetap percaya.
Ini sama dengan bagaimana perdana menteri gagal untuk menghalang sikap remaja yang hadir ke forum “Nothing to Hide 2” daripada cubaan menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin lain yang turut hadir termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Walaupun keahlian yang kian surut dalam Umno, yang mana kebanyakan mereka kini bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), terdapat sejumlah besar yang setia kepada Umno atau rakan baik mereka PAS.
Di sinilah kebenaran patut diutarakan: bahawa parti politik bukanlah tangkal dan azimat.
Bila mana kepimpinan tertinggi mengkhianati prinsip, maka ahli parti mempunyai tugas untuk menegur atau meninggalkan parti.
Ingat kembali apa yang dikatakan oleh Khalifah Abu Bakr (RA). Ia adalah pidato klasik yang sangat memotivasikan. Ia menyentuh banyak elemen kritikal termasuk tadbir urus negara, keadilan, hubungan antara pemimpin dan rakyat, hubungan luar dan dalam.
Mempertahan maslahat umum
Ia adalah pidato yang mudah difahami dan tidak rugi disebutkan di sini:
“Amma ba’du, wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah diangkat sebagai pemimpin kalian meski aku bukan yang terbaik di antara kalian. Jika aku berbuat baik, dukunglah saya. Sebaliknya jika aku berbuat salah, luruskanlah saya. Kejujuran itu merupakan amanah, sedangkan dusta itu merupakan pengkhianatan. Kaum yang lemah menempati posisi yang kuat di sisiku hingga aku dapat mengembalikan padanya haknya dengan izin Allah. Sedangkan, kaum yang kuat menempati posisi yang lemah di sisiku hingga aku dapat mengambil darinya hak orang lain dengan izin Allah. Jika suatu kaum meninggalkan perkara jihad di jalan Allah, mereka akan ditimpakan kehinaan oleh Allah. Jika kemaksiatan telah meluas di tengah-tengah suatu kaum, Allah akan menimpakan bala’ kepada mereka secara menyeluruh. Taatlah kepadaku selama aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika aku bermaksiat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka kalian tidak wajib taat kepadaku. Bangunlah untuk melaksanakan shalat, semoga Allah merahmati kalian.” [al-Bidaayah wan-Nihaayah (6/305.306)]
Dr Mahathir, Muhyiddin, Tan Sri Sanusi Junid, Tun Dr Siti Hasmah Mohammad Ali, Mukhriz dan saya sendiri telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno.
Memang mudah untuk meletakkan seluruh kesalahan kepada 1MDB. Tetapi kerosakan dalam Umno jauh lebih mendalam. Daripada mempertahankan maslahat umum di Malaysia, kita boleh kira sekurang-kurangnya terdapat lima kes memalukan terhadap negara ini.
Satu, daripada menyalahkan Goldman Sachs kerana memberikan caj lebih dari patut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membenarkan entiti kewangan tersebut untuk memberikan caj komisyen tujuh peratus ke atas semua pinjaman yang disusun oleh Goldman Sachs – sepatutnya harga caj sebenar sekitar satu hingga dua peratus sahaja.
Dua, dengan melantik Tan Sri Isa Abdul Samad, seorang bekas pemimpin Umno yang didapati bersalah dalam penyalahgunaan duit politik dalam Umno, bukan sekali tetapi dua kali – menerusi Felda dan SPAD – Najib menunjukkan tidak pedulinya beliau kepada undang-undang.
Hampir semua orang yang menipu dan mengelat rapat dengan Najib. Apa yang Najib dapat?
Ketiga, dalam ucapan-ucapan Najib, beliau tidak bekerja dengan staf dalam negara. Banyak kerja luar diberikan kepada Paul Stadlen, yang memiliki latarbelakang yang boleh dipersoalkan dari UK dan US.
Namun, Paul Stadlen dibayar dengan banyak setiap bulan, sehingga sebanyak AS$75,000 setiap bulan, bagi membetulkan dan membaiki teks ucapan Bahasa Inggeris beliau, yang mana membawa impak polisi politik yang besar.
Bukankah ini seperti mirip zaman imperialis British di mana JWW Birch memegang Sultan di tengkuk?
Empat, setiap ringgit dan sen perlu dikira bagi urusan tadbir urus negara Namun, Najib dan sekutunya juga golongan apparatchik dalam Umno, terutamanya Majlis Tertinggi Umno, didakwa menyelongkar bajet persekutuan.
Juga semasa RM41 bilion wang dikutip dari rakyat melalui GST, sedikit sahaja yang dilakukan Najib untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Benar, Najib telah bersandar pada bahu China untuk membina banyak infrastruktur yang tidak dapat dibina dalam jangka masa singkat.
Negara sedang digagalkan
Tidak kisah sama ada Malacca Gateway atau East Coast Railway Link, tidak ada siapa tahu dengan siapnya projek-projek ini maka kualiti hidup rakyat bertambah baik ataupun sebenarnya bertambah hutang negara.
Andai ia menambah hutang negara, maka kualiti hidup akan berkurang dan kita akan semakin jauh daripada menjadikan kehidupan rakyat, kehidupan yang mampu milik.
Dalam setiap yang disebutkan di atas, Malaysia sedang digagalkan di bawah Najib.
Lebih memeranjatkan ialah ramai yang memandang tinggi bahawa Umno dan PAS akan mempertahankan masa depan mereka, sedangkan kedua-duanya telah merancang mementingkan diri mereka sendiri.
Kebanggaan Malaysia terletak kepada siapa yang dapat menyelamatkan Malaysia dari politik jahiliah yang dilakukan oleh orang atasan dalam kedua-dua parti ini – Umno dan PAS.
As-Sayyid Qutb pernah berkata, dalam jahiliah, mereka yang mampu menebus diri mereka hanyalah mereka yang memandang yang Maha Esa dan mencari kebenaran dalam urusan mereka.
Apa yang terjadi kepada Sayyid Qutb? Beliau digantung oleh Bapa Nasionalisme Arab, Presiden Gamal Abdel Nassr pada tahun 1963.
Ini sebabnya, dalam memilih untuk siapa musuh dan siapa lawan, Melayu dan Malaysia perlu pilih “Haqq” bukan pilih sesuatu yang “Jahil” atau “Batil”.
DATUK RAIS HUSSIN adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.