Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersyukur kerana PAS tidak akan lagi bekerjasama dengan gabungan pembangkang, Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Keputusan itu, katanya pasti memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) memandangkan kekuatan pembangkang sebenarnya banyak bergantung kepada PAS.
“Alhamdulillah, mereka (PAS) sudah sedar (sisi sebenar) pakatan pembangkang dan kita harap mereka boleh bekerjasama (dalam PRU-14) dengan kita. Itu saja harapan kita,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian hari ini.
Tengku Adnan yang mesra dengan panggilan Ku Nan berkata, PAS adalah parti yang berstruktur berbanding parti lain dalam pakatan itu.
"Sudah tentu apabila mereka (PAS) tidak lagi bekerjasama (akan memberi kelebihan kepada BN).
"Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat, sama ada bekerjasama atau tidak, hanya Tuhan yang tahu. Saya tidak dapat menjawabnya," katanya.
Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN pada 29 Ogos lalu mengeluarkan ketetapan untuk tidak akan bekerjasama dengan PAS.
Mereka juga menyebut HARAPAN sedang merangka strategi untuk menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga timbalan presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini mengaku sedang mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PAS bagi berdepan pilihan raya, walaupun kedua-dua parti tidak lagi mempunyai kerjasama politik.
Ia menimbulkan rasa tidak senang bukan sahaja anggota komponen HARAPAN tetapi juga pemimpin kanan PKR lain.
Seorang anggota biro politik PKR telah meletakkan jawatan sebagai tanda protes manakala Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pula mengusulkan kongres khas bagi membincangkan perkara itu.