Sempena hari kemerdekaan esok, PAS menekankan kedudukan Islam dalam perlembagaan, konsep raja berperlembagaan dan keutamaan “kaum dominan beragama Islam” memimpin negara.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang membangkitkan perkara itu dalam perutusan khas sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-60 esok.
Katanya, sejarah merakamkan bagaimana pahlawan kemerdekaan, khususnya “kumpulan Islam daripada PAS” yang berjaya meletakkan Islam dalam perlembagaan.
“Ini satu kejayaan yang sangat penting yang perlu kita dipertahankan,” kata Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh sarjana Islam terkenal Yusuf al-Qaradawi.
Dalam perutusan itu juga, Hadi turut mengulas berkaitan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.
Anggota parlimen Marang menyifatkannya sebagai “belenggu” tinggalan penjajah dalam perlembagaan untuk membatasai kuasa Islam dan merendahkan Mahkamah Syariah.
Bagaimanapun, katanya lagi, usahanya untuk meminda akta itu di parlimen mendapat respon sangat positif daripada anggota parlimen Islam.
“Hanya segelintir sahaja yang menganggap enteng dalam perkara ini dan mendapat tentangan daripada orang bukan Islam,” katanya.
“Ini adalah usaha untuk memerdekakan perlembagaan Malaysia sebagai langkah awal yang perlu kita laksanakan dan menguji sejauh mana kesetiaan rakyat negara ini terhadap perlembagaan yang mesti kita pertahankan.”
Berkaitan raja berperlembagaan, Hadi berkata kuasa institusi itu harus “diperkasakan bersama Islam”.
“Ini yang perlu kita wujudkan, bukan meminda perlembagaan untuk mengambil alih kuasa,” katanya.
Hadi juga berkata orang Melayu adalah teras politik negara.
“Kaum yang dominan beragama Islam adalah diutamakan untuk memimpin negara.
“Ini mesti dipertahankan supaya kemerdekaan itu dapat dilaksanakan dengan cara yang betul,” katanya.
“Selain itu, kaum yang lain yang bukan Islam jangan merasa bimbang dengan meletakkan Melayu Islam sebagai teras politik negara kerana Islam dapat mengawal perasaan kebangsaan.”