Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengamati perkembangan semasa tanah air berkata perdana menteri kedua negara Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pastinya akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara.
Baginda bertitah, senario pertama merujuk kepada perpaduan rakyat yang mana allahyarham menyatakan masa depan negara bergantung kepada perpaduan rakyat.
Namun kini, titah baginda, dalam keghairahan mahu mendapat sokongan, parti politik kelihatan semakin cenderung memilih untuk menyalakan bara sensasi isu agama dan perkauman.
"Andainya masih bernafas, Tun Abdul Razak pastinya akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara," yang dipetik portal Berita Harian Online.
Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku 'Fulfilling A Legacy - Tun Razak Foundation' hasil tulisan Shahreen Kamaluddin di Kuala Lumpur, hari ini.
Senario kedua, titah baginda, Abdul Razak turut menggariskan peranan penting sekolah dalam memupuk perpaduan rakyat melalui aliran pengajian kebangsaan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan yang terkandung dalam Penyata Razak.
"Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan kini dilihat semakin gagal memenuhi matlamat untuk sekolah berperanan sebagai taman asuhan menyatupadukan warganya.
"Generasi muda pelbagai kaum yang melalui pelbagai aliran persekolahan, tidak akan berpeluang berinteraksi dan saling mengenali, sebaliknya membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing," titah baginda.
Sultan Nazrin berkata, senario ketiga yang akan dikesali Abdul Razak ialah pelbagai gelinciran daripada landasan sebenar pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan.
Titah baginda, ia mengakibatkan berlaku ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera secara besar-besaran yang bukan saja mencetuskan salah faham Bumiputera yang menganggapnya sebagai pilih kasih, malahan juga kemarahan kalangan bukan Bumiputera.
"Keempat berkaitan rasuah dan integriti. Hati Tun Abdul Razak pasti luluh mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana rasuah yang berlaku secara besar-besaran, membabitkan penjawat tinggi dan individu terpelajar dengan jumlah yang banyak serta mencalar nama baik negara bangsa, " titah baginda.
Portal itu juga memetik Sultan Perak sebagai meminta rakyat menghayati wawasan dan semangat pengorbanan Abdul Razak.
"Kepada Allah sama-sama kita berdoa supaya wawasan dan semangat pengorbanan Tun Abdul Razak tidak akan padam daripada minda dan hati rakyat.
"Semoga wawasan dan nilai murni Tun Abdul Razak dikunjungi semula, dihayati, dihidupkan dan disemarakkan dalam minda dan jiwa setiap warga Malaysia," titah baginda.