Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri didakwa langgar kontrak periuk nasi logo BN

Seorang pembekal barangan elektrik memfailkan saman terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, anggota parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Bendahari Umno Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Saman itu difailkan setelah mereka didakwa melanggar kontrak pembelian puluhan ribu unit periuk nasi.

Umno Perlis didakwa menempah 60,000 unit periuk nasi 1.8 liter daripada Florence Lee Jye Wen pada 3 Jun 2015 yang diletakkan logo Umno, BN dan DSSK (kependekan untuk Datuk Seri Shahidan Kassim).

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 16 April di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lee mendakwa beliau ditemui oleh wakil jualan yang menyebut Umno Perlis berminat membeli periuk nasi yang diletakkan logo Umno dan kependekan nama Shahidan.

Shahidan adalah pengerusi Umno negeri. Zahidi pula menjadi setiausaha agungnya.

Seunit periuk nasi itu dikatakan dijual dengan harga RM74 – lebih murah berbanding harga pasaran RM107 – dengan setiap 20,000 unit akan diedarkan untuk kawasan parlimen Arau, Padang Besar dan Kangar.

Perlis sebagai negeri terkecil di Malaysia hanya mempunyai tiga kawasan parlimen.

Jumlah keseluruhan jualan itu mencecah angka RM4.4 juta.

Bagaimanapun, katanya 8,000 unit masih tidak diambil sehingga ke hari ini menyebabkan beliau rugi sebanyak RM592,000.

Dia juga menuntut ganti rugi khas RM36,511.40 untuk kos menyimpannya dan RM2,750.35 kerana terpaksa menyimpan periuk nasi itu tanpa dapat menjualnya akibat label tertera padanya.

Lee juga menuntut ganti rugi am dengan jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, ketiga-tiga defendan menafikan terdapat kontrak berkenaan dan meminta Lee membuktikannya.

Mereka juga menafikan terdapat arahan atau kebenaran diberikan kepada Lee yang dikatakan dibuat melalui surat bertarikh 3 Jun 2015.

Defendan-defendan berkata Lee gagal menghantar barang-barang itu dalam tempohnya dan memohon pertanyaan tuntutan itu ditolak dengan kos.

Perkara itu dibawa untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meminta pihak-pihak berkaitan dalam berunding untuk menyelesaikan kes itu.

Wan Ahmad menetapkan 13 September depan untuk memaklumkan kepada mahkamah sama ada penyelesaian berjaya dicapai.

Peguam Lavinia Kumaraendran bertindak bagi pihak plaintif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS