Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya sudah jangka Grace bakal jadi juara'
Diterbitkan:  Aug 26, 2017 11:48 AM
Dikemaskini: 5:03 AM

Saya sudah lama mengesan potensi Grace dan yakin beliau bakal jadi juara suatu hari nanti, kata bekas jaguh baling tukul besi negara, Wong Tee Kue.

Telahan Tee Kue, 53, mengenai potensi anak saudaranya Grace Wong Xiu Mei nyata tepat apabila atlet berusia 17 tahun itu berjaya meraih pingat emas dengan memecahkan rekod Sukan SEA melalui melakukan balingan sejauh 59.24m di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis (24 Ogos).

Bercakap kepada Bernama beliau berkata kejayaan diraih Grace sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa pada Sukan SEA Singapura sebelum ini pastinya mengubat duka pasukan negara yang sudah lama gagal meraih pingat emas dalam acara tersebut.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana akhirnya Malaysia memenangi kembali dua pingat emas dan mencipta rekod baharu pada Sukan SEA kali ini seterusnya meneruskan kesinambungan kejayaan pasukan negara sebelum ini,” katanya.

Atlet lelaki acara sama, Jackie Wong Siew Cheer, turut meraih emas selepas memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 65.90m sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun kilauan emas selepas kali terakhir dilakukan Tee Kue pada edisi 2001 juga di Kuala Lumpur.

Tee Kue yang pernah memenangi lima pingat emas acara baling tukul besi lelaki pada Sukan SEA antara 1991 hingga 2001 berkata kali terakhir dia berjumpa Grace adalah pada April lalu bagi memberi tip yang boleh digunakan ketika kejohanan.

Ketika ditanya pendapat beliau mengenai masa depan Grace dan Jackie, beliau berkata kedua-dua atlet muda itu berada pada kemuncak prestasi dan tidak mustahil untuk mereka menyinar pada kejohanan lebih tinggi termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Beliau berkata potensi mereka masih boleh dipertingkat kerana sudah memiliki teknik yang mantap, konsisten dan dengan bimbingan yang diterima ketika ini tidak mustahil akan terus membanggakan negara pada kejohanan akan datang.

“Kita perlu bekerjasama untuk cemerlang. Kedua-dua Thomas Ling Neng Tung (bekas jurulatih Grace di Sarikei) dan Gu Yuan (jurulatih Grace dan Jackie ketika ini) adalah rakan baik saya dan mereka juga telah banyak menyumbang dalam pelbagai peringkat demi kebaikan sukan ini.

“Saya ingin mengucapkan setinggi tinggi penghargaan kepada semua yang bekerjasama dan berdoa untuk kejayaan mereka demi pembangunan sukan Malaysia di persada antarabangsa," katanya.

Kejayaan Tee Kue, Grace dan Jackie masing-masing berasal dari Sarikei yang terletak kira-kira 270 kilometer dari Kuching pastinya membuatkan ramai yang tertanya keistimewaan bahagian tersebut.

Ditanya mengenai perkara itu, Tee Kue berkata beliau sendiri kurang pasti namun percaya legasi yang ditinggalkannya apabila memenangi lima pingat emas Sukan SEA meningkatkan semangat atlet muda dari Sarikei untuk menyerlahkan potensi sekali gus membuktikan mereka juga mampu bersaing di peringkat negara dan antarabangsa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS