Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh sekali lagi hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang bagi memberi keterangan berhubung kes sebuah kilang di Sungai Lembu, Bukit Mertajam yang beroperasi tanpa lesen sejak 10 tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat dan Alam Sekitar Pulau Pinang itu hadir di pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah pada pukul 10.30 pagi ditemani peguamnya Ramkarpal Singh.
Ramkarpal berkata Phee selesai memberi keterangan kepada SPRM pada 5.30 petang dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu daripada DAP tersebut turut dibenarkan mengambil semula barang-barang peribadinya yang disimpan SPRM sebelum ini.
"Beliau sudah selesai memberi keterangan… keterangan yang agak panjang dan Phee juga dibenarkan mengambil semula barang peribadinya yang diambil SPRM sebelum ini antaranya kad pengenalan dan pasport serta beberapa dokumen milik beliau yang disita.
"Menurut SPRM, pada tahap ini siasatan membabitkan Phee berhubung kes itu sudah selesai dan kami turut dimaklumkan beliau tidak akan dipanggil untuk diambil keterangan lagi selepas ini, namun kami bersedia bekerjasama termasuk untuk hadir di SPRM jika diperlukan," katanya kepada pemberita di sini.
Ditanya sama ada kemungkinan SPRM akan memanggil Exco lain bagi membantu siasatan kes itu, Ramkarpal berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Pada 10 Ogos lepas, SPRM menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu itu yang dipercayai mencemari alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam. SPRM turut mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Keesokannya Phee ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di sini dan direman selama lima hari bermula 12 Ogos lepas bagi membantu siasatan tetapi beliau dibebaskan tiga hari kemudian selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah reman terhadapnya.
Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan ADUN Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.
- Bernama