Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kad rawatan hospital mental bukan kekebalan untuk terlepas hukuman'

Kita sering terbaca berita mengenai pesalah jenayah berat terutamanya kes bunuh dan rogol terlepas hukuman kerana pernah mendapatkan rawatan pesakit mental.

Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) Dr Norhayati Nordin (foto) menjelaskan, kad rawatan pesakit mental bukan suatu kekebalan untuk terlepas daripada hukuman, sebaliknya pihak mahkamah akan merujuk kepada penilanian daripada hospital terlebih dahulu.

“Kadang-kadang kita lihat ada pesakit mental lakukan jenayah, dari segi mahkamah dia akan hukum pesalah itu.

“Tapi kalau dia pesakit mental, dia tak ada niat (lakukan jenayah) dan dikawal oleh sesuatu, maka kita tak patutlah hukum dia.

“Dia (pesalah) tidak kebal, itu cuma kad temu janji. Mahkamah akan tentukan dan dia akan dinilai semasa dia lakukan jenayah. Kita kena akses (tahap mental) masa dia lakukan jenayah. Jika dia ada rekod sakit mental tetapi ketika kejadian dia waras dan berniat jahat secara sedar, maka dia akan dihukum seperti pesalah lain,” katanya ketika ditemui di HBUK Selasa lalu.

Sebelum itu Norhayati ditanya mengenai beberapa kes bunuh yang akhirnya pesalah itu terlepas daripada hukuman gantung kerana pernah mendapat rawatan mental.

Selain itu, beliau turut ditanya mengenai “kekebalan” kad rawatan pesakit mental kerana kerana ia seolah-olah tiket untuk melakukan jenayah.

Kata Norhayati lagi, pesalah itu akan ditempatkan di HBUK terlebih dahulu dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan untuk dipantau serta mendapatkan rawatan.

Jika pesalah itu didapati sihat dan tidak mengalami masalah mental, mereka akan melalui proses pendakwaan yang seterusnya seperti pesalah normal yang lain.

Norhayati yang juga pakar mental kanak-kanak turut merujuk penyakit skizofrenia (perangai yang berubah-ubah) berkata, pesakit itu sbenarnya tidak mengalami gangguan pada setiap masa.

“Masyarakat kena faham, kalau dia ada skizofrenia, itu memang masalah mental. Tapi, skizofrenia bukan kena selalu.

“Kalau ada suara suruh bunuh, dan dia bunuh orang itu sebab dia memang berniat nak bunuh, mahkamah akan tentukan dan kalau didapati bersalah, dia tetap boleh dijatuhkan hukum sehingga gantung sampai mati,” katanya.

Selasa lalu Malaysiakini berpeluang mengikuti lawatan ke HBUK bersama Yayasan Kesihatan Mental (YKM) bagi melihat sendiri keadaan pesakit mental.

Turut serta dalam lawatan itu Pengerusi YKM Tan Sri Hashim Meon (foto) dan Pengarah Eksekutifnya Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah.

Penyakit mental merupakan penyakit kedua tertinggi yang dihidapi oleh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

Laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan di mana pada tahun 2008, kira-kira 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.

Masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental di mana akhir-akhir ini akhbar tempatan kerap melaporkan banyak kes bunuh diri, terjun bangunan, mencederakan diri atau orang lain

Justeru Norhayati berkata semua pihak harus peka dengan perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku antara ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan sekerja kerana mereka mungkin sedang berlawan dengan penyakit tersebut.

“Mereka (masyarakat) kena tahu apa itu kesihatan mental terganggu. kita kena ada kesedaran mental dari terganggu. Kesedaran mental bukan sakit mental, ia adalah peringkat awal.

“Kadang-kadang kita sakit kepala, berdebar-debar tapi bila jumpa doktor, doktor kata tak ada apa-apa mungkin fikiran sahaja yang suruh sakit, kita kena ambil peduli, kerana ini yang paling awal.

“Kalau ada orang tegur (sikap) kita, jangan sensitif sangat. mungkin ada kebenarannya,” katanya.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS